KOTA KINABALU: 28 Julai 2025 – Pemimpin kanan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah dikejutkan dengan pengumuman pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor, bahawa GRS telah memutuskan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan dalam pakatan pilihan raya bagi pilihan raya negeri yang akan datang.
The Star kelmarin melaporkan sekurang-kurangnya empat pemimpin parti komponen GRS yang dihubungi berkata belum ada perbincangan mengenai perkara itu.
Seorang daripada para pemimpin tersebut berkata, “Saya sangkakan beliau akan mengumumkan untuk bertanding secara solo.”
Sebelum itu, pada hari Ahad (27 Julai), pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, memberitahu pemberita bahawa pakatan pilihan raya itu dipersetujui antara GRS dan Pakatan. Apabila ditanya sama ada perkara itu telah dibincangkan antara parti komponen GRS, beliau berkata: “telah dibincangkan.”
Hajiji mengetuai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), merupakan parti teras GRS. Sementara itu komponen lain ialah Parti Bersatu Sabah (PBS) yang dipimpin Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) di bawah presiden Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Parti Progresif Sabah (SAPP) di bawah bekas Ketua Menteri Datuk Seri Yong Teck Lee; Parti USNO yang diketuai bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Parti Cinta Sabah (PCS) yang dipimpin bekas menteri luar negara Tan Sri Anifah Aman; Parti Liberal Demokratik (LDP) di bawah Datuk Chin Su Phin, dan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) yang diketuai Tan Sri Liew Yun Fah.
Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan ketika dihubungi wartawan TvSabah hari ini berkata GRS belum bermasyuarat tentang perkara tersebut.
Menurut The Star hari ini, Datuk Seri Yong Teck Lee berkata, setakat ini, majlis tertinggi GRS belum mengadakan mesyuarat untuk menyokong perjanjian pilihan raya dengan Pakatan, dan bahawa pengumuman Datuk Seri Hajiji Noor kelmarin adalah di luar mesyuarat agung tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah.
“Tidak ada mesyuarat Majlis Tertinggi dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Jika dan apabila ada mesyuarat, sudah tentu kami akan hadir,” ujarnya.
Pada 13 Julai yang lalu, sorakan “GRS Solo” bergema di Dewan Hongkod Koisaan KDCA sempena Konvensyen Gabungan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang pertama, menandakan sokongan padu dari sekitar 7000 hadirin yang mahukan GRS bertanding secara bersendirian dalam Pilihan Raya Negeri ke-17.
Walau bagaimanapun, FMT melaporkan hari ini, setiausaha agung PKR, Fuziah Salleh telah mengesahkan bahawa PH dan BN telah memuktamadkan perbincangan pembahagian kerusi sehari selepas pengerusi GRS, Hajiji Noor mengumumkan akan membentuk pakatan pilihan raya dengan PH.
Sebelum itu, timbalan pengerusi PH Sabah, Mustapha Sakmud berkata gabungan BN PH menyasarkan antara 23 hingga 25 kerusi, manakala pada Mei lalu, ketua penerangan Sabah UMNO, Suhaimi Nasir berkata Sabah BN berpegang teguh pada rancangan untuk bertanding 40 kerusi.
Hajiji juga berkata perbincangan pembahagian kerusi dengan PH telah bermula dengan “formula asas” telah ditetapkan, walaupun belum dimuktamadkan.
Sumber: The Star, FMT, NST, TvSabah