Oleh: Nurul Fazliana Norman
BEAUFORT: 10 Ogos 2026 – Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) mengubah pendekatan tahun ini dengan berjalan kaki menerusi Program Langkah Jiwa Merdeka di Tamu Mingguan Dataran Bagandang. Langkah itu bertujuan mendekati masyarakat dan menyemarakkan semangat patriotisme.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Isnin Aliasnih @ Liasnih, berkata pengalaman itu berbeza berbanding konvoi kenderaan sebelum ini.
“Program sebegini kita buat secara sederhana, tetapi kesannya mendalam kepada rakyat. Kita dapat berjumpa dan berinteraksi secara lebih dekat,” katanya.
Peserta mengedarkan Jalur Gemilang dan berbual dengan komuniti sepanjang perjalanan. Tinjauan mendapati ramai peniaga muda memperoleh pendapatan RM150 hingga RM500 sehari. Ini menunjukkan peluang ekonomi sentiasa terbuka untuk golongan muda.
Isnin menegaskan pengibaran Jalur Gemilang bukan pembaziran, sebaliknya penting untuk meningkatkan kesedaran cintakan negara.
“Dulu kita gunakan konvoi kenderaan, sekarang berjalan kaki. Konsepnya sama, cuma caranya berbeza. Yang penting, kita turun bersama rakyat,” ujarnya.
Program itu turut mengingatkan masyarakat tentang sejarah kemerdekaan dan kepentingan menghayati sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah.
Turut hadir Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, dan Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Beaufort, Azlan Rizwan Zaman.
Sumber: JAPEN

