KOTA KINABALU: 19 Ogos 2025 — Peguam mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir memohon agar pendakwaan terhadap lima remaja yang didakwa membuli pelajar Tingkatan Satu itu ditangguhkan sementara.
Permohonan itu dibuat selepas dimaklumkan bahawa kesemua tertuduh hanya akan didakwa mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan.
Peguam Hamid Ismail berkata pihak keluarga menggesa supaya pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman lebih berat.
Menurutnya, jika pendakwaan ringan diteruskan, terdapat kemungkinan tertuduh akan mengaku bersalah lebih awal.
Keadaan itu boleh menimbulkan isu ‘double jeopardy’ mengikut Perlembagaan Persekutuan, sekali gus menghalang mereka didakwa semula di bawah seksyen lebih berat sekiranya siasatan lanjut menemukan bukti baharu.
Sehubungan itu, satu surat rasmi telah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara bagi memohon penangguhan pendakwaan serta menimbang semula seksyen yang lebih sesuai digunakan.
Kes Zara Qairina mencetuskan perhatian nasional selepas pelajar berusia 13 tahun itu disahkan meninggal dunia dipercayai akibat menjadi mangsa buli.
Sumber: Kupikupifm
