KOTA KINABALU: 21 Ogos 2025 – TV Sabah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Music Rights Sabah Berhad (MRS) petang tadi bagi membincangkan kerjasama strategik dalam memperkasakan hak cipta muzik etnik tempatan.
Pertemuan dua jam itu menyaksikan wakil TV Sabah berkongsi pelbagai pandangan dan cadangan, antaranya potensi kerjasama dan penganjuran program khas untuk meningkatkan kesedaran hak cipta muzik tempatan dalam kalangan penggiat muzik.
“Melalui platform TV Sabah, program kesedaran hak cipta MRS boleh dipromosikan lebih meluas dan memberi impak lebih besar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TV Sabah, Suzanne Lujain-Bingkasan.

Selain itu MRS turut memberi maklumat mengenai isu dan cabaran industri muzik tempatan, penerangan mengenai royalty muzik tempatan dan usaha memperjuangkan hak penggiat muzik. TV Sabah menekankan komitmen menyokong penggiat muzik tempatan melalui program dan liputan khusus.
Pengarah Urusan MRS, Mohd Ashraf Abdullah, menyambut baik sokongan ini dan berkata, “Kami bersyukur dengan adanya stesen yang memahami dan menyokong perjuangan hak cipta muzik tempatan.
” Katanya, MRS akan terus bekerjasama dengan TV Sabah bagi memastikan ekosistem muzik tempatan terpelihara dan menjadi asas kepada pembangunan industri muzik yang mapan di Sabah.
TV Sabah diketuai oleh Pegawai Eksekutif, Suzanne Bingkasan bersama Lulu Latisya, Leonard Victorian, Dellcy Ho, Juslin J., Jacy dan Sandra, manakala MRS diwakili oleh Mohd Ashraf Abdullah, Justin Juani, Latina Lumidang, Ronney Ajim dan Anderies Salapi.