HULU SELANGOR: 19 September 2025 – Kerajaan Selangor akan menghantar sukarelawan bagi membantu mangsa banjir dan tanah runtuh di Sabah dalam tempoh terdekat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu diputuskan selepas perbincangan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan kini menunggu koordinasi bersama Kerajaan Persekutuan.
Beliau menjelaskan fasa semasa masih memberi tumpuan kepada operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh pasukan beruniform, namun Selangor akan tampil membantu sebaik sahaja memasuki fasa pemulihan dengan menggerakkan tenaga sukarelawan serta sokongan lain yang mampu dilaksanakan.
Menurut Amirudin, cabaran utama melibatkan kos penghantaran kerana bantuan perlu dihantar menggunakan penerbangan ke Sabah, sekali gus menyukarkan penghantaran jentera seperti yang pernah dilakukan di negeri-negeri lain sebelum ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan bayaran peringkat akhir kepada bekas peneroka Felda Sungai Buaya di perkarangan pejabat Murna Jaya Development (MJD) Berhad.
Terdahulu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan seramai 3,325 orang daripada 964 keluarga ditempatkan di 27 pusat pemindahan sementara (PPS) di Membakut, Penampang, Papar, Putatan dan Sipitang, selain sebuah pusat pemindahan kekal di Beaufort.
Bencana tanah runtuh di Sabah turut meragut 13 nyawa, manakala seorang lagi mangsa terkorban akibat banjir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini meluluskan peruntukan segera RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sebagai tambahan kepada RM11 juta yang disalurkan lebih awal untuk pembaikan segera kemudahan asas.
Sumber: Berita Harian