Keracunan Vape dalam Kalangan Remaja Membimbangkan, Amaran Pusat Racun Negara

WhatsApp Image 2025 06 04 at 8.55.58 PM 2

GEORGE TOWN: Sebanyak 76 kes keracunan yang dikaitkan dengan pendedahan kepada vape yang disyaki mengandungi bahan terlarang telah dirujuk kepada Pusat Racun Negara (PRN) di Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Perkhidmatan Maklumat Racun dari tahun 2020 hingga tahun lepas.

Pegawai Farmasi Kanan PRN, Mohd Fadhli Razali, berkata statistik tersebut menunjukkan peningkatan mendadak, dengan lonjakan ketara bermula pada tahun 2022 apabila 65 peratus atau 17 kes direkodkan daripada jumlah kes pendedahan vape yang dirujuk pada tahun tersebut.

“Kes-kes ini meningkat setiap tahun, dengan 79 peratus (27 kes) pada tahun 2023 dan 68 peratus (26 kes) pada tahun 2024. Majoriti, iaitu 81 peratus, melibatkan vape yang didakwa sebagai Magic Mushroom Vape.

“Kebanyakan kes melibatkan remaja berumur 15 hingga 19 tahun (41 peratus) dan golongan dewasa awal berumur 20 tahun (53 peratus), menunjukkan trend yang semakin membimbangkan dalam kalangan generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini yang dilapor oleh Bernama.

Mohd Fadhli menegaskan bahawa penemuan ini menuntut tindakan segera daripada kerajaan bagi menghalang lebih ramai golongan muda menjadi mangsa ketagihan, terutamanya kepada jenis dadah baharu seperti kanabinoid sintetik (bahan kimia yang dihasilkan di makmal dan menyerupai bahan kimia dalam tanaman ganja) yang dikesan dalam cecair vape.

Menurutnya, kebanyakan individu yang terjejas mengalami simptom seperti sawan, pengsan, muntah, serta masalah psikiatri seperti halusinasi, delusi dan perubahan tingkah laku termasuk keganasan.

Lebih membimbangkan, ramai kes menunjukkan simptom keracunan teruk walaupun selepas hanya satu atau dua sedutan vape, sekali gus menimbulkan risiko kepada diri sendiri dan orang di sekeliling, tambah beliau.

Analisis PRN ke atas beberapa sampel cecair vape yang didakwa mengandungi Magic Mushroom mendapati sebenarnya ia mengandungi dadah sintetik yang boleh menyebabkan keracunan serius dan berpotensi membawa maut.

“Ia menunjukkan betapa mudahnya vape boleh dimanipulasi. Tanpa kawalan ketat, ia membuka pintu kepada penyalahgunaan dadah berbahaya dalam masyarakat. Remaja menjadi sasaran utama produk ini kerana akses mudah melalui platform dalam talian yang sukar dikawal,” katanya.

Beliau menegaskan peningkatan kes keracunan berkaitan vape menegaskan keperluan segera penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Tembakau untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) serta sokongan di peringkat negeri.

Gambar hiasan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!


 

This will close in 5 seconds

TV Sabah | News Portal