KENINGAU: 11 Julai 2026 – Ahli Parlimen Keningau, YB Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, menggesa Kementerian Pengangkutan supaya mengekalkan operasi Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Tambunan demi memastikan masyarakat di daerah itu terus menikmati akses kepada perkhidmatan kerajaan yang penting.
Gesaan tersebut dizahirkan menerusi surat rasmi bertarikh 2 Julai 2026 yang dihantar kepada Menteri Pengangkutan, YB Tuan Anthony Loke Siew Fook, untuk mendapatkan penjelasan mengenai status operasi pejabat berkenaan susulan maklumat mengenai cadangan penutupan.
Dalam surat itu, Jeffrey menyatakan bahawa walaupun terdapat dakwaan Pejabat JPJ Tambunan tidak menguntungkan dari segi operasi, pejabat tersebut sebenarnya merekodkan kutipan hasil sebanyak RM1.04 juta pada tahun 2024 dan meningkat kepada RM1.10 juta pada tahun 2025.
“Keuntungan kewangan tidak seharusnya dijadikan ukuran utama dalam menentukan sama ada sesebuah pejabat kerajaan perlu dikekalkan atau ditutup.
“Keutamaan perlu diberikan kepada tanggungjawab kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan yang cekap, mudah diakses dan memenuhi keperluan rakyat,” tegasnya.
Menurutnya, Daerah Tambunan mempunyai keluasan sekitar 1,347 kilometer persegi, iaitu hampir menyamai keluasan Negeri Melaka yang berkeluasan 1,644 kilometer persegi. Dalam masa yang sama, pejabat JPJ yang terdekat terletak di Keningau, kira-kira 50 kilometer dari Pekan Tambunan, manakala Kota Kinabalu berada sekitar 80 kilometer.
Jeffrey berpandangan bahawa sekiranya Pejabat JPJ Tambunan ditutup, penduduk akan menanggung kos perjalanan yang lebih tinggi selain perlu meluangkan masa yang lebih panjang untuk mendapatkan urusan berkaitan lesen memandu, cukai jalan, pendaftaran kenderaan dan pelbagai perkhidmatan lain yang disediakan oleh JPJ.
Beliau turut menjelaskan bahawa jarak dari satu penghujung ke satu penghujung Daerah Tambunan adalah sekitar 75 hingga 80 kilometer, sedangkan Negeri Melaka yang lebih kecil mempunyai empat pejabat JPJ, iaitu JPJ Melaka, JPJ Jasin, JPJ Masjid Tanah dan JPJ UTC Melaka. Beliau berpendapat keadaan ini menunjukkan bahawa faktor keluasan kawasan dan kemudahan akses kepada rakyat perlu diberikan pertimbangan sewajarnya dalam penyediaan perkhidmatan kerajaan.
“Jabatan Pengangkutan Jalan bukanlah sebuah entiti yang diwujudkan semata-mata untuk menjana keuntungan, sebaliknya merupakan agensi kerajaan yang melaksanakan tanggungjawab berkanun dan menyediakan perkhidmatan awam kepada rakyat,” tegasnya.
Beliau juga mengingatkan bahawa penduduk Tambunan sentiasa menyumbang kepada hasil kerajaan melalui pembayaran cukai jalan, fi lesen memandu, fi pendaftaran kenderaan dan pelbagai caj perkhidmatan JPJ yang keseluruhannya berjumlah kira-kira RM1.10 juta pada tahun 2025. Oleh itu, masyarakat setempat berhak menikmati kemudahan perkhidmatan yang mudah diakses tanpa perlu menanggung beban perjalanan yang lebih jauh.
Sehubungan itu, Jeffrey berharap Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan akan mempertimbangkan semula sebarang cadangan penutupan Pejabat JPJ Tambunan dan mengekalkan operasinya demi kepentingan rakyat di daerah berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pengangkutan atas perhatian dan pertimbangan terhadap perkara tersebut serta berharap keputusan yang dibuat akan terus mengutamakan kepentingan masyarakat luar bandar.

