Kejohanan kebangsaan pertama di Tenom pacu ekonomi tempatan

SAVE 20260726 154856

TENOM: 26 Julai 2026 – Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan Piala MABA–MATRIX Kali Ke-30 Tahun 2026 buat pertama kalinya diadakan di Tenom baru-baru ini menerima sambutan luar biasa daripada peminat sukan.

Kejayaan itu membuktikan daerah ini berpotensi menjadi lokasi penganjuran acara bertaraf kebangsaan, sekali gus membuka laluan kepada rangkaian program sukan, pertanian, perikanan dan pelancongan sepanjang Ogos hingga November yang dijangka merancakkan ekonomi setempat.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar yang juga ADUN Melalap berkata, pihaknya berterima kasih kepada MABA dan SABA kerana memilih Tenom sebagai tuan rumah kejohanan kebangsaan tersebut.

“Ini merupakan kali pertama kejohanan bola keranjang kebangsaan diadakan di Tenom dan sambutannya cukup hebat. Kami berharap akan ada lagi penganjuran pada masa akan datang supaya lebih banyak aktiviti dapat diadakan di Tenom,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kejohanan itu pada malam Jumaat.

Menurut Jamawi, beberapa program utama lain telah disusun mulai Ogos hingga November. Pada 3 hingga 7 Ogos, Tenom menjadi tuan rumah Kejohanan Bola Sepak Bawah 16 Tahun Peringkat Negeri Sabah. Seterusnya, pada 12 hingga 20 September, Pesta Bunga berlangsung di Taman Pertanian Sabah, diikuti Program Cintai Sungai Peringkat Negeri pada 26 September.

Memasuki Oktober, Tenom akan menganjurkan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan dan Program Perkhemahan Peringkat Negeri Sabah. Rangkaian program ditutup dengan Pesta Makanan pada November.

“Kami berharap semua program ini bukan sahaja memeriahkan daerah Tenom, malah mampu merancakkan ekonomi tempatan melalui peningkatan kehadiran pengunjung dan aktiviti perniagaan,” ujar beliau.

Turut hadir pada majlis perasmian kejohanan bola keranjang itu ialah Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin; Presiden Persatuan Bola Keranjang Sabah, Phan Chee Yong; dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Chu Cheong Sin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal