KBSK gesa Kerajaan Persekutuan utamakan belia negeri dalam Belanjawan 2027

c168266f 236c 4bda 8033 06d19824bc64

Oleh: Nurul Fazliana Norman

KOTA KINABALU: 8 Oktober 2026 – Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) Sabah menggesa Kerajaan Persekutuan mengutamakan pemerkasaan belia negeri itu dalam Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata usaha perlu ditumpukan kepada memperkasa usahawan belia dan menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi demi meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.

Menurutnya, belia perlu diberi akses kepada pembiayaan, latihan dan platform digital supaya mereka dapat membina kerjaya atau mencipta peluang pekerjaan melalui perniagaan sendiri.

“Tumpuan perlu diberikan supaya belia bukan sekadar mendapat pekerjaan, malah mampu mencipta sumber pendapatan yang lebih baik dan stabil ketika berhadapan dengan cabaran kos sara hidup sekarang.

“Selain itu, keperluan belia di luar bandar perlu diutamakan supaya peluang yang ada tidak tertumpu di kawasan bandar sahaja,” katanya ketika ditemu bual di Konti Sabah FM, Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, Isnin lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Nizam berharap Belanjawan 2027 turut memberi perhatian kepada pembangunan sukan akar umbi, termasuk penyediaan infrastruktur yang baik, selamat dan mudah diakses masyarakat.

Katanya, program pencarian bakat, pembangunan jurulatih dan laluan kerjaya yang jelas juga penting untuk membantu atlet muda Sabah berkembang dari peringkat sekolah ke tahap lebih tinggi.

Dalam sektor ekonomi kreatif, katanya, lebih banyak sokongan diperlukan dalam bentuk geran, latihan, ruang berkarya, pemasaran dan akses kepada platform yang lebih luas untuk membantu penggiat seni tempatan.

Sokongan itu penting untuk memastikan sektor ekonomi kreatif, termasuk seni, budaya dan warisan tempatan, terus berkembang selain menjadi sumber pendapatan dan kerjaya yang mampan.

Nizam berkata, pembangunan sektor belia, sukan dan ekonomi kreatif perlu terus diperkasa untuk membuka lebih banyak ruang kepada anak Sabah agar berkembang dan membawa nama negeri ke peringkat lebih tinggi.

Hadir sama, Setiausaha Tetap KBSK, Datuk Mansur Asun, dan Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan), Noorman Ramlan.

Sumber: JAPEN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal