Karnival Pendidikan Adat Budaya Borneo: Wadah Pemeliharaan Warisan Rentas Sempadan

TUARAN, 14 April 2025 – Karnival Pendidikan Adat Budaya Borneo Kali Ke-3 yang berlangsung di Kampung Lumawang, Tuaran, diiktiraf sebagai wadah penting dalam usaha memelihara dan memartabatkan warisan budaya di seluruh Kepulauan Borneo. Anjuran bersama Sekolah Adat Anak Negeri Sabah, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), dan Universiti Malaysia Sabah (UMS), karnival itu bertujuan membina jaringan pendidikan adat dan budaya yang lebih luas dengan Sarawak dan Kalimantan.

Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Huguan Siou Lundu Mirongod Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, dalam ucapan perasmiannya, menekankan peranan penting karnival itu yang bukan hanya sebagai perayaan budaya, tetapi juga sebagai wadah untuk memartabatkan tamadun bangsa Borneo.

“Kita harus berbangga dengan identiti kita, adat istiadat, tarian, muzik, dan falsafah hidup yang diwarisi sejak turun-temurun,” ujar beliau.

Kitingan turut menyuarakan kebimbangan terhadap cabaran yang dihadapi Bangsa Borneo dalam era globalisasi, khususnya isu peminggiran bahasa ibunda. Beliau menekankan bahawa kehilangan bahasa ibunda bererti kehilangan sebahagian besar identiti budaya.

Menurut beliau, pemuliharaan bahasa ibunda merupakan intipati terpenting dalam pendidikan adat. Beliau menjelaskan bahawa bahasa hanya benar-benar dimartabatkan apabila ia digunakan sebagai bahasa ilmu, dalam pengajaran, dokumentasi, dan penyebaran pengetahuan.

Justeru, beliau memuji peranan Sekolah Adat di Sabah yang menjadikan bahasa etnik sebagai medium pembelajaran. Sebagai contoh, Bahasa Kadazan Dusun digunakan dalam kelas Sekolah Adat Dusun, Bahasa Bajau diajar dalam konteks sejarah maritim, dan Bahasa Murut dihidupkan melalui cerita lisan dan lagu tradisional.

Beliau menggesa agar pendekatan ini diperluaskan ke seluruh Borneo, dengan harapan agar setiap etnik dapat memelihara bahasa mereka sendiri sambil berkongsi nilai-nilai bersama.

Kitingan turut menekankan bahawa karnival itu merupakan langkah awal ke arah kerjasama budaya yang lebih erat antara Sabah, Sarawak, dan Kalimantan. Beliau juga menyentuh mengenai perkongsian perayaan seperti Pesta Kaamatan, Gawai dan Erau, seni kraf seperti tenunan, tatu tradisional dan ukiran kayu, serta makanan tradisional seperti hinava, linopot, dan juadah berasaskan padi.

“Mari kita jadikan karnival ini sebagai permulaan jaringan pendidikan adat yang lebih besar, di mana kita boleh belajar antara satu sama lain dan mengukuhkan ikatan budaya,” tambahnya.

Kitingan akhiri dengan menekankan tiga perkara penting: menjadikan bahasa ibunda sebagai kebanggaan dengan menggunakannya dalam kehidupan seharian dan pendidikan; menyokong Sekolah Adat sebagai benteng terakhir mempertahankan warisan; dan membina jaringan budaya Borneo dengan kerjasama Sarawak dan Kalimantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal