Menteri MAFFI, Datuk Jamawi Jaafar (kiri); AhDUN Tulid, Jordan Ellron (belakang); dan Penganjur Calvin Chin, bergambar bersama sambil memegang halia.
SOOK: 7 Februari 2026 – Jelajah Kebun Dapur akan dilaksanakan di setiap kawasan Parlimen di Sabah, dengan jelajah pertama dijadualkan berlangsung pada 15 Februari ini di Tuaran, dan akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar, semasa merasmikan Program Jelajah Taklimat dan Kursus Penanaman Halia Fertigasi Kaedah Moden (Kebun Dapur) di Dewan Kampung Sinua, hari ini.
Beliau berkata, inisiatif Kebun Dapur serta pelaksanaan program pertanian berasaskan teknologi moden diperkenalkan sebagai antara langkah strategik Kerajaan Sabah bagi memperkukuh keterjaminan makanan, mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan komuniti luar bandar, khususnya dalam kalangan golongan B40.
Menurut beliau, kementerian bersama Jabatan Pertanian akan menyediakan pakej istimewa pada harga rendah, melibatkan pembekalan input pertanian dan ternakan seperti ayam, kambing, ikan, sayur-sayuran dan lain-lain keperluan asas pertanian.
“Dengan adanya Kebun Dapur ini, di mana sayur-sayuran dan ternakan diusahakan di sekitar rumah, rakyat tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada pembelian di kedai atau pasar,” katanya.
Jamawi berkata, program anjuran petani kelahiran Malalap, Calvin Chin Kit Siong itu telah menerima 150 peserta dalam program tersebut dan memaklumkan bahawa mereka akan dibahagikan kepada kumpulan yang terdiri daripada 15 orang setiap satu. Sehubungan itu, beliau memperuntukkan RM2,000 bagi setiap kumpulan untuk membiayai projek penanaman halia.
“Saya yakin usaha ini mampu meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri Sabah,” katanya.

Selain itu, beliau turut memberikan penerangan kepada penduduk kampung berhubung rasional larangan penanaman guarana di Sabah oleh kementerian.
