KOTA KINABALU: 27 Julai 2025 – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyatakan keyakinan penuh bahawa rakyat Sabah akan terus memberikan kepercayaan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menerajui negeri ini selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Menurut beliau, keyakinan itu berasaskan pencapaian dan rekod pentadbiran GRS selama hampir lima tahun yang telah meletakkan asas kukuh kepada pembangunan negeri, berpaksikan keperluan serta aspirasi rakyat akar umbi.
Dalam ucapan dasar beliau sempena Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini, GRS bukan sekadar berjanji tetapi telah membuktikan kemampuan dengan pembangunan nyata dan kestabilan pentadbiran.
Presiden Gagasan Rakyat yang juga Pengerusi GRS itu menegaskan PRN17 merupakan medan penting bagi menentukan hala tuju Sabah, serta masa depan rakyatnya. Beliau menyifatkan pilihan raya kali ini bukan sekadar rutin demokrasi, tetapi satu peluang kritikal untuk membentuk kerajaan yang mantap dan berdaya tahan.
Tambahnya lagi, pelbagai dasar pembangunan yang dirancang telah menunjukkan hasil positif, terutama dalam pertumbuhan ekonomi negeri. Justeru, mandat yang lebih besar amat diperlukan bagi memastikan kelangsungan usaha tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa PRN17 ini bukan sesuatu yang boleh diambil ringan. Kemenangan GRS dilihat akan mengukuhkan lagi kedudukan Sabah dalam memperjuangkan hak-haknya, manakala kegagalan boleh membuka ruang kepada ketidaktentuan dan pengguguran dasar yang sedia ada.
Dalam ucapan itu juga, Hajiji mengingatkan bahawa segala pencapaian yang sedang berlangsung berisiko terganggu jika tampuk pentadbiran bertukar tangan. Menurutnya, rakyat dan negeri akan menjadi pihak yang paling terkesan sekiranya kesinambungan itu tidak dapat dipertahankan.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera Gagasan Rakyat, dari pimpinan pusat hingga ke akar umbi, agar turun padang dan menggerakkan usaha mendekati rakyat, terutama golongan belia.
Beliau mahu semangat perjuangan terus dikobarkan dalam kalangan jentera parti untuk membina keyakinan rakyat terhadap GRS sebagai pentadbir yang berwibawa dan berorientasikan rakyat.
“Sudah tiba masanya kita memperkukuh sokongan, menyelami denyut nadi rakyat, dan membuktikan Gagasan Rakyat bukan sekadar nama, tetapi sebuah gerakan yang membawa harapan untuk Sabah yang lebih baik,” katanya.
GRS yang diterajui Hajiji dilihat terus memposisikan diri sebagai pilihan utama rakyat menjelang PRN17, dengan naratif berasaskan prestasi dan kestabilan pentadbiran sepanjang penggal lalu.
Sumber: Sabah News Today
