Jawatan dalam PBS bukan hadiah, yang mesti menang ialah PBS – Joachim

DSP Dr Joachim

oleh David E.

KOTA KINABALU: 25 September 2026 – Pemangku Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam mengingatkan semua calon pemilihan kepimpinan parti supaya menjadikan perpaduan sebagai keutamaan. Katanya, jawatan dalam PBS bukan hadiah, sebaliknya amanah dan tanggungjawab.

“Yang mesti menang ialah Parti Bersatu Sabah,” katanya pada Majlis Malam Bersatu sempena Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Ke-41, 2026 di sini.

Beliau berkata, kehadiran perwakilan dari Pantai Barat, Pedalaman, Utara dan Pantai Timur membuktikan semangat perjuangan PBS masih kukuh di peringkat akar umbi. Beliau mengucapkan tahniah kepada semua Bahagian yang berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan dan melahirkan ramai pemimpin baharu, termasuk generasi muda.

Kepada calon yang menang, beliau berkata kemenangan bukan sekadar penghormatan, tetapi amanah untuk bekerja memperkukuh parti dan mendekati akar umbi. Kepada yang belum berjaya, beliau meminta mereka tidak menganggap perjuangan sudah berakhir.

“Bertandinglah sebagai sahabat. Berbeza pandanganlah sebagai saudara. Apabila keputusan dibuat, kita kembali duduk bersama dan bergerak bersama sebagai satu pasukan,” katanya.

Beliau menegaskan perpaduan tidak bermakna semua orang mesti sama pendapat. Perpaduan bermaksud selepas keputusan dibuat, semua bergerak sebagai satu pasukan. PBS, katanya, sudah 41 tahun melalui kejayaan dan cabaran, dan masih berdiri kerana ahli tidak pernah berhenti percaya.

Tema perjuangan PBS kini, katanya, ialah Perpaduan – Bersatu Memimpin; Kestabilan – Stabil Membina; dan Integriti – Berintegriti Berkhidmat.

“Jangan biarkan pertandingan dalaman memisahkan kita. Jangan biarkan jawatan menjadi lebih besar daripada perjuangan,” katanya.

Beliau juga menekankan PBS perlu menghargai pemimpin lama, membimbing yang baharu dan memberi peluang kepada generasi muda. Kekuatan sebenar parti, katanya, bukan pada seorang individu, tetapi pada kesatuan seluruh keluarga PBS.

“Kita tidak akan membuang sejarah. Kita akan membina di atas sejarah,” katanya sambil menyeru semua pihak kekal sebagai satu keluarga, satu parti dan satu perjuangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal