Monday, December 23, 2024

Jawatan 3 TPM sah wujud selepas PRU15

KOTA KINABALU 26 OKTOBER 2022

SIAPA-SIAPA sahaja yang memenangi kerusi yang cukup dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini dan kemudian membentuk Kerajaan Persekutuan, seorang ahli Parlimen dari Sabah akan tetap dilantik sebagai salah seorang daripada tiga Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang disyorkan.

Itu adalah janji Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pembangkang Datuk Anwar Ibrahim yang berkata bahawa janji itu berada dalam manifesto mereka.

Zahid mengumumkan pewujudan tiga jawatan TPM yang akan mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung jika BN menang dalam pilihan raya akan datang.

Anwar Ibrahim juga berjanji untuk melantik TPM untuk mewakili Sabah dan Sarawak jika Pakatan Harapan (PH) menang dan mengambil alih Putrajaya selepas pilihan raya umum ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga berkata, ahli Parlimen parti mana yang akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri hanya akan diputuskan selepas pilihan raya.

Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Bersatu Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan cadangan itu baik dan GRS akan mencari seseorang dalam kalangan ahli parlimen yang menang yang layak dijadikan TPM.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, ketika mengalu-alukan cadangan untuk jawatan TPM dari Sabah, Sarawak dan Malaya menegaskan bahawa ia sebagai sesuatu yang “sudah lama tertangguh.”

Katanya, isu pelantikan timbalan perdana menteri bagi Sabah dan Sarawak sudah dibincangkan dalam Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) berikutan permintaan awam, khususnya rakyat Sabah dan Sarawak, meminta Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan cadangan itu.

“Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu sedang meneliti perkara mengenai status sama rata Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan,” jelas Ongkili, yang juga menteri sementara di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

Katanya, sebagai ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mereka menyokong sepenuhnya cadangan itu kerana sepatutnya jawatan TPM itu sudah lama diadakan.

“Ini selaras dengan peruntukan perlembagaan untuk memberikan status sama rata kepada Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia,” tambahnya.

Selepas pilihan raya umum ke-15 berakhir, PBS akan mencadangkan isu itu dijadikan sebagai agenda pertama mesyuarat MKMA63 iaitu meluluskan cadangan tiga TPM di Malaysia.

Ia akan mewakili Malaysia baharu yang merupakan satu peningkatan terbaik bagi Negara Malaysia.

Jika rakyat Sabah tersilap politik sebelum ini, kini adalah masa tepat untuk memperbetulkannya dan dengan mencari penyelesaian bagi memastikan negara dan rakyat mempunyai masa depan yang lebih baik.

Jalan menuju kemakmuran ialah apabila wujud perpaduan kaum, sistem pendidikan yang progresif, ekonomi yang cergas, pengagihan kekayaan dan peluang pekerjaan yang adil, badan penguatkuasa yang saksama, keadilan sosial, perkhidmatan awam yang lebih baik dan kerajaan yang bebas rasuah.

Oleh itu, menjelang pilihan raya umum akan datang, undilah dengan bijak untuk mendapatkan kerajaan yang akan melaksanakan reformasi besar untuk menjadikan negara lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights