Hutan pulih, Orang Utan kembali – titipan akhir William Joseph

IMG 4018

Oleh: Nurul Fazliana Norman

KOTA KINABALU: 4 November 2026 – Pengalaman selama 25 tahun bekerja di hutan Sabah membuka perspektif William Joseph mengenai kepentingan pemuliharaan habitat dan perlindungan orang utan, khususnya menerusi usaha memastikan kawasan hutan kekal terhubung untuk menjamin kelangsungan hidupan liar.

Menerusi perkongsian WWF-Malaysia, William yang meninggal dunia pada 15 September 2026 itu meninggalkan pengalaman dan pengajaran berharga hasil penglibatannya dalam usaha memulihkan dan melindungi habitat hidupan liar di Sabah.

Sepanjang tempoh itu, beliau menyaksikan kawasan hutan yang sebelum ini mengalami kemerosotan mula pulih, sekali gus membolehkan hidupan liar kembali mendiami habitat asal mereka.

Menurut WWF-Malaysia, pemuliharaan orang utan bukan sekadar melindungi spesies itu, sebaliknya turut melibatkan usaha memelihara ekosistem hutan yang menjadi sumber makanan, tempat perlindungan dan kawasan pembiakan haiwan tersebut.

9a5c16a9 e14b 4fe1 be7b 378b50e9ec87 1

Sabah dianggarkan menjadi habitat kepada kira-kira 11,000 ekor orang utan, sekali gus menjadikannya antara kawasan perlindungan penting untuk spesies itu di dunia.

Pegawai pemuliharaan orang utan WWF-Malaysia, Donna Simon, berkata kesedaran masyarakat perlu dipertingkatkan untuk memahami hubungan rapat antara kelangsungan hidup orang utan dengan kesihatan ekosistem hutan.

“Ramai mengetahui orang utan sebagai spesies ikonik, tetapi tidak ramai menyedari betapa rapatnya masa depan haiwan ini dengan kesihatan hutan kita.

“Pemuliharaan orang utan bukan hanya mengenai melindungi satu spesies, tetapi juga memelihara hutan yang menyokong kepelbagaian biologi, menyimpan karbon dan mengawal sistem air,” katanya.

Antara cabaran utama pemuliharaan spesies itu ialah pemecahan habitat hutan kepada kawasan lebih kecil dan terasing, sekali gus menyukarkan pergerakan hidupan liar untuk mendapatkan makanan dan mencari pasangan.

Sehubungan itu, usaha mewujudkan koridor hidupan liar dilihat penting untuk menghubungkan semula kawasan hutan yang terpisah dan membolehkan haiwan bergerak dengan lebih selamat.

Usaha pemulihan hutan di kawasan Bukit Piton turut membuktikan bahawa habitat yang terjejas akibat pembalakan dan kebakaran mampu dipulihkan sekiranya diberikan peluang untuk menjana semula.

395cf297 d6a2 4203 beb9 a0bb66ca4398

Menurut William dalam temu bual yang dijalankan awal tahun ini, keadaan hutan di Bukit Piton menunjukkan perubahan positif apabila sumber makanan semakin bertambah dan hidupan liar mula kembali ke kawasan itu.

“Apabila saya mula bekerja di sini, sumber makanan sangat terhad dan keadaan hutan jauh berbeza. Hari ini, melihat hidupan liar kembali memberikan saya harapan bahawa hutan ini mampu pulih,” tambahnya.

Usaha pemulihan hutan secara besar-besaran di Bukit Piton bermula pada 2007 sebelum kawasan itu ditukar daripada Hutan Simpan Komersial Kelas II kepada Hutan Simpan Perlindungan Kelas I untuk memperkukuh perlindungan habitat.

Orang utan bukan satu-satunya spesies yang kembali ke kawasan itu. Beberapa hidupan liar lain turut menyaksikan kehadiran semula, termasuk monyet proboscis, monyet daun merah dan ungka.

WWF-Malaysia turut menekankan penggunaan teknologi seperti kamera perangkap, dron dan kecerdasan buatan (AI) untuk membantu penyelidik mengenal pasti sarang orang utan dan memantau populasi spesies itu dengan lebih berkesan.

Donna berkata, usaha pemuliharaan memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan, komuniti setempat, penyelidik, pengusaha ladang dan organisasi pemuliharaan.

Katanya, perlindungan kawasan hutan sedia ada, pemulihan habitat yang terjejas dan penyediaan koridor hidupan liar perlu dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan kelangsungan populasi orang utan dan biodiversiti Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal