Harga minyak global tekanan kepada kos tenaga negara

OIP

KUALA LUMPUR: 5 April – Malaysia yang mengimport minyak mentah, petrol dan diesel berdepan kesan ketara susulan krisis tenaga global, apabila dalam tempoh sebulan dari Mac ke April tahun ini, harga minyak mentah Brent meningkat 82 peratus, petrol 64 peratus dan diesel melonjak sehingga 154 peratus.

Lonjakan harga minyak mentah global memberi tekanan langsung kepada kos tenaga negara, namun harga runcit bahan api di Malaysia masih terkawal dan tidak mencerminkan sepenuhnya turun naik pasaran dunia.

Walaupun berlaku kenaikan mendadak di peringkat global, pengguna tempatan masih dilindungi dari impak penuh melalui mekanisme kawalan harga sedia ada.

Pada masa sama, kos penghantaran minyak mentah dunia kini menghampiri paras tertinggi sejak 2008, didorong peningkatan kos logistik dan insurans akibat ketidakstabilan geopolitik global.

Dalam perkembangan berkaitan, Petronas memaklumkan ia beroperasi dalam sistem tenaga global bersepadu yang melibatkan pengeluaran, import dan eksport secara serentak bagi memastikan kesinambungan bekalan.

Sejak krisis bermula, kos operasi syarikat itu meningkat mendadak merangkumi pelbagai komponen logistik, termasuk kadar harian pengangkutan yang meningkat antara 47 hingga 176 %, selain premium insurans melonjak sekitar 337 %.

Kos lain turut meningkat melibatkan yuran juruukur, pemanasan kargo, operasi pemindahan kapal ke kapal dan ujian kualiti, namun angka tersebut masih belum mengambil kira kos penapisan dan kos hiliran.

Petronas menegaskan melalui rantaian nilai bersepadunya, syarikat itu terus berusaha mengekalkan operasi yang stabil dan berdaya tahan bagi memastikan keterjaminan bekalan bahan api negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal