Hajiji yakin GRS-BN menang lebih 15 kerusi Sabah
Nilam Raon
TAWAU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) yakin mampu memenangi lebih 15 kerusi parlimen di Sabah, kata Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Haji Noor di sini pada Rabu.
Ketua Menteri Sabah itu berkata, daripada siri jelajah yang dilakukannya bersama jentera di hampir 25 kawasan Parlimen Sabah, ia menunjukkan sokongan menggalakkan daripada pengundi terhadap gabungan GRS-BN itu.
“Inshaallah kita yakin kita boleh mencapai angka 15 itu dan mungkin lebih lagi. Inilah apa yang kita yakini. Besok saya akan ke Sandakan dan mungkin tidak semua 25 bahagian parlimen dapat saya lawati tetapi sebahagian besar kita sudah pergi.
“Kawasan yang lain kita bahagikan untuk lawatan jentera parti yang lain,” katanya ditemui media selepas majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan SJK Kung Ming di sini.
Sementara itu, di Sandakan Hajiji juga berkata beliau yakin muafakat GRS-BN dapat memenangi lebihdaripada 15 kerusi parlimen di Sabah.
“Saya ingin nyatakan kita (Muafakat GRS-BN) mungkin akan dapat (memenangi) lebihdari 15 kerusi parlimen di Sabah”, katanya kepada pemberita selepas menghadiri MajlisBersama Rakyat di Kampung Bongaya Baru, Batu Sapi, hari ini.
Hajiji mengulangi kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yakob yang memberitahu perhimpunan di Sandakan semalam bahawa BN menjangkakan memenangi 15 kerusi Sabah. Jumlah yang dimenangi itu, ia akan membolehkan BN membentuk kerajaan Persekutuan.
Ismail Sabri berkata, mereka mencapai sasaran kerusi zon lima Sabah meliputi Beluran, Libaran, Batu Sapi, Sandakan dan Kinabatangan.
“Di Sabah, saya diberitahu (BN-GRS) boleh menyumbang sekurang-kurangnya 14 kerusi (parlimen) ke arah (pembentukan) kerajaan persekutuan.
Pembentukan kerajaan persekutuan adalah bergantung kepada kerusi di Sabah.
Sementara itu dalam ucapannya Hajiji berkata, kekuatan kerajaan negeri yang ada sekarang adalah atas muafakat rakan komponen dalam GRS-BN dan mendapat sokongan padu daripada rakyat.
Terdahulu beliau berkata majlis bersama pemimpin itu adalah siri kempen membantu calon dari GRS dan BN di Tawau dan Kalabakan.
“Kita harap supaya calon kita ini akan meraih kejayaan dalam pilihan raya ini kerana bagi saya calon yang kita ketengahkan ini adalah calon yang dapat membantu rakyat,” katanya lagi.
– Tv Sabah News
0 Comments