Guru Wanita Maut Ditikam Abang Sendiri di Tamparuli

Share the news

Tuaran, 6 Julai 2025 – Seorang guru wanita ditemui maut dalam keadaan mengerikan selepas dipercayai ditikam dengan senjata tajam oleh abang kandungnya sendiri dalam kejadian tragis di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tenghilan, Tamparuli semalam.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag. Maidin berkata, mangsa berusia 41 tahun ditemukan dengan kesan kecederaan parah di bahagian leher, kepala dan kedua-dua mata, dipercayai akibat serangan menggunakan senjata tajam.

“Suspek merupakan abang kandung mangsa dan telah ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tuaran untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media.

Tambah beliau, lelaki tempatan berusia 47 tahun itu dipercayai mengalami masalah mental dan pernah menerima rawatan di fasiliti kesihatan sebelum ini.

Motif kejadian masih dalam siasatan, manakala proses bedah siasat telah dijalankan di Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta sebatan.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan diminta tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Hotline Polis Tuaran di talian 088-794313 atau balai polis berhampiran.

Sumber, Sabah Dimensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal