KENINGAU: 10 Oktober 2025- Dr. Sirhajwan Idek, guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional (KV) Keningau, telah berjaya dipilih sebagai finalis bagi anugerah Sustainability Waste Awareness and Responsible Action Awards ataupun dikenali sebagai SWARA Awards 2025 anjuran Southeast Asian Regional Centre for Tropical Biology (SEAMEO BIOTROP) iaitu satu badan pendidikan yang berpangkal di Bogor, Indonesia.
Terdapat 12 orang finalis bagi anugerah ini dan guru ini merupakan satu-satunya finalis dari negara Malaysia manakala finalis yang lain berasal dari Indonesia.
Pengumuman 12 finalis ini telah dibuat pada 7 Oktober 2025 di laman media sosial penganjur dan keputusan senarai pemenang-pemenang anugerah yang akan menerima wang ringgit dan sijil pencapaian akan diumumkan pada bulan November 2025.

Terdapat beberapa anugerah yang akan diberi antaranya amalan terbaik, konsep program terbaik serta anugerah pilihan orang awam. Anugerah ini adakah merupakan satu penghargaan bagi inisiatif-inisiatif pengurusan sisa makanan di rantau Asia Tenggara yang telah memberi impak positif melalui pengurangan dan pemprosesan sisa makanan yang berkesan.
Dr. Sirhajwan Idek telah membimbing dan membantu para pelajarnya di KV Keningau dalam menaik kitar atau upcycle sisa-sisa makanan seperti sisik ikan, kulit oren dan tongkol jagung menjadi makanan ringan dan bahan kosmetik di mana para pelajar ini telah memenangi pelbagai anugerah atas produk ciptaan mereka dalam pertandingan perusahaan serta ada yang berjaya menjual produk-produk tersebut.
Malah, para pelajar ini beserta produk-produk ciptaan mereka telah mendapat liputan media tempatan.

Selain daripada itu, salah satu pasukan yang dibimbingnya juga telah menerima geran daripada Yayasan Telekom Malaysia untuk mengurus sisa makanan yang terkumpul dari kolej mereka untuk dijadikan baja kompos dan makanan haiwan ternakan.
Dia menamakan projek ini sebagai upcycled food waste social entrepreneurship ataupun perusahaan sosial sisa makanan naik kitar dalam penyertaannya untuk anugerah ini.
Dr. Sirhajwan Idek juga merupakan salah seorang penulis garis panduan bagi pengurusan sisa makanan dan amalan hijau untuk kolej-kolej vokasional di Malaysia.
Dr. Sirhajwan yang pernah menerima pengiktirafan terdahulu dengan usaha-usahanya mendidik Bahasa Inggeris dan memperbudayakan amalan inovasi di kolejnya seperti ELTons Innovation Awards dari British Council pada tahun 2024 dan Ikon Belia Karismatik Negara dari Kementerian Belia dan Sukan pada tahun 2022 menjadikan ibunya, Hajah Bintek Haji Abdul Rahman, sebagai sumber inspirasi dan idolanya.
Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang, mengucapkan tahniah terhadap pencapaian guru ini dan pengiktirafan ini adalah bukti bahawa profesion perguruan adalah satu tugas dan tanggungjawab yang sangat penting dalam memangkin perubahan yang berimpak terhadap masyarakat dan alam persekitaran melalui peranan mereka sebagai pendidik.