oleh David E.
KUDAT: 17 Oktober 2026 — Bantuan kerajaan yang dirasai dalam kehidupan seharian terus menjadi tumpuan rakyat Kudat menerusi Program Sentuhan Kasih Rakyat yang turut memuatkan Karnival Jom Malaysia, Jualan Rahmah MADANI dan Perkhidmatan Komuniti Bergerak Edisi DUN N.4 Tanjong Kapor sempena lawatan Ketua Menteri Sabah, kelmarin.
Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Ben Chong Chen Bin, berkata dalam keadaan kos sara hidup yang terus menjadi perhatian, inisiatif Jualan Rahmah MADANI amat penting untuk membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah.
“Menerusi tawaran Happy Hour Jualan Rahmah, tepung dijual pada harga sekilo seringgit sahaja, manakala sardin dijual pada harga 20 sen,” katanya yang juga ADUN Tanjung Kapur ketika berucap pada program itu.
Beliau berkata setiap penjimatan amat bermakna untuk setiap keluarga dan inisiatif itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan berpendapatan rendah, warga emas, ibu bapa yang mempunyai ramai tanggungan dan peniaga kecil.
Katanya, Perkhidmatan Komuniti Bergerak memudahkan rakyat mendapatkan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan kerajaan tanpa perlu menempuh perjalanan jauh ke Kota Kinabalu.
“Pada malam ini, Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah sendiri akan menyerahkan geran tanah kepada rakyat di kawasan N.4 Tanjong Kapor nanti,” katanya.
Menurutnya, penyerahan geran tanah itu amat bermakna untuk mereka yang telah menunggu bertahun-tahun, malah ada yang menanti sehingga berganti generasi, demi pengiktirafan hak terhadap tanah mereka.
Di bawah kepimpinan Kerajaan GRS, katanya, lima kampung di Kudat telah diwartakan dan memperoleh geran tanah kampung yang sah, iaitu Kampung Dampirit, Kampung Marang Parang, Kampung Loro Kecil, Kampung Simpang Mengayau dan Kampung Labuan Sama.
Berita baiknya, Jabatan Perhutanan Sabah kini giat melaksanakan kerja penyukatan semula sempadan tanah jabatan itu di Kudat atas permintaan dan perhatian Ketua Menteri.
Usaha itu bertujuan membuka ruang untuk penduduk kampung yang telah lama menetap di kawasan tanah hutan simpan mengemukakan permohonan tanah secara sah, tertakluk kepada proses dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
“Untuk makluman Yang Amat Berhormat, hari ini rakyat di Kudat sangat gembira kerana terdapat satu kaunter untuk carian rekod dan tuntutan wang yang tidak dituntut. Ramai yang tiba-tiba hari ini baru tahu rupanya terdapat sejumlah wang yang tidak dituntut selama ini yang tidak diketahui oleh mereka sendiri. Saya dimaklumkan ada yang sampai RM22,000 …. RM34,000 wang tunai yang tidak dituntut selama ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan untuk Ketua Menteri Sabah, Yang Berhormat Datuk Armizan, semua ketua jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, para petugas, sukarelawan dan seluruh masyarakat yang bersama-sama menjayakan program itu.
– TV Sabah

