Oleh: Nurul Fazliana Norman
KUNAK: 19 Oktober 2026 – Seramai 12 remaja lelaki ditahan polis untuk membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan yang tular di media sosial dan dipercayai berlaku di Padang Pekan Kunak.
Ketua Polis Daerah Kunak, Supt. Rejali Ak Angong berkata, pihaknya mengesan penularan video memaparkan pergaduhan membabitkan beberapa lelaki di tempat awam kira-kira jam lapan malam, kelmarin.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian berkenaan berlaku di Padang Pekan Kunak.
Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak menjalankan tindakan pengesanan sebelum membuat dua tangkapan secara berasingan melibatkan 12 remaja lelaki.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh di tempat awam.
Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke IPD Kunak untuk membantu siasatan.
Sumber: Polis Daerah Kunak

