Festival Bambu Sabah di Telupid sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

Copy of Gambar Artikel 1 20260509 111041 0000

TELUPID: 9 Mei 2026 – Daerah Telupid bakal menjadi tumpuan pelancongan dan kebudayaan sempena Festival Bambu Sabah 2026 yang akan berlangsung pada 13 hingga 15 Mei depan.

Festival yang dianjurkan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 ini akan menonjolkan warisan masyarakat Sabah berasaskan bambu, termasuk seni budaya, muzik tradisional, kraftangan dan makanan etnik.

Bercakap dengan wartawan TV Sabah, ADUN Telupid, Jonnybone Kurum berkata, pemilihan Telupid sebagai tuan rumah bermula selepas beliau menerima cadangan dari pegawai Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah untuk menghidupkan semula Festival Bambu yang pernah dianjurkan di Tambunan.

Katanya, persiapan kini berada pada tahap akhir dan telah mencapai tahap akhir sekitar 85 hingga 90 peratus. Menurut Jonnybone, festival itu amat dekat dengan identiti masyarakat Dusun Labuk, yang sejak dahulu menggunakan bambu dalam kehidupan harian.

“Bambu sangat sinonim dengan masyarakat di sepanjang Sungai Labuk. Dahulu masyarakat menggunakan perahu, bangkal dan rakit untuk membawa hasil pertanian, manakala bambu pula digunakan dalam pelbagai aspek kehidupan,” jelasnya.

Katanya lagi, selain menjadi bahan binaan dan keperluan harian, bambu turut memainkan peranan penting dalam seni budaya masyarakat termasuk muzik tradisional, kraftangan dan masakan.

Sepanjang festival, pelbagai aktiviti akan diadakan seperti tarian etnik, pertandingan sulap kreatif bambu, “Tunion Do Poring”, pertandingan kugiran “Battle of the Bambu”, menyumpit, sukan rakyat, pameran pondok tradisi, pesta bangkal atau lumba rakit, bengkel kraftangan dan zon keluarga.

Jonnybone berkata, festival ini dijangka memberi impak besar kepada ekonomi dan pelancongan tempatan kerana Telupid terletak di laluan strategik antara pantai barat dan pantai timur Sabah.

“Ini peluang terbaik untuk memperkenalkan Telupid bukan sahaja dari sudut budaya, tetapi juga produk pelancongan seperti Tawai Rainforest, sejarah Death March dan potensi ekonomi tempatan,” katanya.

Festival itu dijangka menarik kira-kira 2,000 pengunjung dan akan diteruskan dengan Sambutan Kaamatan Peringkat Daerah Telupid pada 16 Mei depan.

Penganjuran festival ini diterajui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dengan kerjasama Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah serta Majlis Daerah Telupid.

Jonnybone berharap Festival Bambu Sabah dapat dijadikan acara tahunan rasmi daerah bagi memelihara dan memperkasa warisan budaya berasaskan bambu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal