Fasa Peralihan Monsun dijangka Bermula 29 Mac

photo 2026 03 25 14 59 52

KUALA LUMPUR: 25 Mac 2026 – Malaysia dijangka memasuki Fasa Peralihan Monsun bermula 29 Mac hingga Mei 2026, sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2025/2026 yang bermula sejak 13 November tahun lalu.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, sepanjang tempoh peralihan monsun tersebut, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang boleh menggalakkan pembentukan awan ribut petir di kebanyakan kawasan.

Beliau berkata, keadaan itu berpotensi membawa hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh singkat, terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan barat dan pedalaman Semenanjung Malaysia, barat Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, fenomena cuaca berkenaan juga berpotensi menyebabkan banjir kilat, kejadian pokok tumbang dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh sekiranya hujan lebat dan angin kencang berlaku.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MET Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mudah alih myCuaca dan media sosial jabatan berkenaan.

Sumber: Kenyataan media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal