Enam remaja termasuk calon SPM ditahan positif dadah

photo 2025 09 17 19 35 07

BUKIT KAYU HITAM: 17 September 2025 – Enam remaja berusia 17 hingga 19 tahun termasuk seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah selepas ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah ketika pulang dari Thailand.

Pelajar lelaki berusia 17 tahun dari sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang itu ditahan bersama tiga rakannya yang berusia 18 tahun ketika menunggang dua motosikal di lorong motosikal Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada petang selasa.

Mereka difahamkan pulang ke rumah selepas bercuti di negara jiran sejak Sabtu lalu.

Hasil pemeriksaan mendapati keempat-empat remaja itu positif dadah jenis ketamin.

Mereka dipercayai berkongsi menghisap rokok bercampur dadah ketika berhibur di Thailand.

Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad, berkata siasatan lanjut mendapati calon SPM terbabit merupakan anak tunggal yang tinggal bersama datuk dan neneknya selepas ibu bapanya berpisah ketika dia berusia sembilan tahun.

Beliau berkata, pelajar itu mengaku terjebak dengan dadah akibat tekanan hidup dan perasaan ingin mencuba.

Remaja berkenaan turut mengakui ini kali kedua mengambil dadah selepas kali pertama ketika memasuki Thailand sebelum ini.

Menurutnya, operasi bersepadu yang dijalankan antara jam 3 hingga 5 petang itu menahan enam individu keseluruhannya selepas mereka disahkan positif dadah melalui ujian saringan air kencing.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal