PENAMPANG: 5 Julai 2026 – Dua lelaki tempatan berusia 32 dan 49 tahun ditahan selepas didapati positif menggunakan dadah jenis methamphetamine (METH) dan tetrahydrocannabinol (THC) dalam satu operasi di pusat hiburan sekitar daerah ini, malam tadi.
Operasi berskala besar yang dinamakan Op Pusat Hiburan itu dikendalikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Menurut Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, seramai 32 individu di dua premis hiburan telah menjalani ujian saringan air kencing.
“Hasil ujian mengesahkan dua lelaki tempatan itu positif dadah. Mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan rasmi hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan sendiri, yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara jika sabit kesalahan.
Operasi yang diketuai oleh Penolong Superintendan Bakar bin Jasa itu juga bertujuan memastikan premis hiburan mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
Polis memberi jaminan bahawa operasi seumpama ini akan dipergiatkan dari semasa ke semasa sebagai langkah proaktif membanteras penyalahgunaan dadah di kawasan Penampang.
Sumber: Polis Daerah Penampang

