BANGGI: Dua butir bom udara seberat kira-kira 454 kilogram (1,000 paun) setiap satu berjaya dimusnahkan di pesisir Pantai Pulau Belembangan.
Operasi selama dua hari dari 16 hingga 17 November itu membabitkan 16 anggota polis, iaitu empat pegawai kanan dan 12 pegawai rendah.
Pemusnahan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira faktor pasang surut air laut dan keadaan persekitaran untuk memastikan keselamatan sepanjang operasi.
Kedua-dua bom berjaya dimusnahkan sepenuhnya tanpa sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.
Kejayaan itu mencerminkan keupayaan dan kesiapsiagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengendalikan ancaman bahan letupan tidak meletup (UXO) untuk keselamatan orang ramai.
Operasi itu dilaksanakan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan kerjasama Cawangan Persenjataan Jabatan Logistik dan Teknologi IPK Sabah dan Cawangan C.B.R.N.E Zon 2 Sabah.
