Dokumen Utama Pembentukan Negara, Termasuk MA63, Wajib Ada di Semua Perpustakaan Sekolah – Ewon

FW1521997 KL09 03112025 PARLIMEN mpr

Kuala Lumpur: 28 Januari 2026 – Dokumen-dokumen utama pembentukan negara iaitu Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijadikan buku wajib di semua perpustakaan sekolah di seluruh negara.

Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedict berkata, cadangan itu selari dengan Titah Ucapan Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong yang menggesa rakyat kembali memahami niat asal pembentukan Malaysia berasaskan perpaduan, saling menghormati dan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Atas Titah Diraja ini, Penampang mencadangkan agar silibus mata pelajaran Sejarah dan Pengajian Am dipinda bagi memasukkan lebih banyak kandungan berkaitan penubuhan Malaysia berasaskan Perjanjian Malaysia 1963, termasuk syarat yang dipersetujui untuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurut Ewon, ini termasuk menjadikan Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan MA63 sebagai bahan rujukan wajib di perpustakaan sekolah supaya pelajar dapat memahami asas perlembagaan dan pembentukan negara.

Beliau berkata pendedahan awal terhadap dokumen-dokumen bersejarah itu diyakini dapat memupuk semangat perpaduan, saling menghormati dan kerjasama dalam kalangan rakyat apabila dewasa, khususnya mereka yang bakal menyertai perkhidmatan awam.

Dalam perbahasan sama, beliau turut menghargai usaha melaksanakan MA63 mengikut semangat asal, termasuk penyelesaian 13 perkara setakat ini, namun menegaskan masih terdapat dua isu utama yang belum dimuktamadkan.

Ia melibatkan pelaksanaan Perkara 112C berkaitan hak 40 % hasil Sabah serta penetapan kerusi Dewan Rakyat tidak kurang satu pertiga untuk Sabah dan Sarawak.

Ewon berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong pada sidang Parlimen di sini, kelmarin.

Menyentuh isu pendidikan, beliau menyokong Bahasa Melayu sebagai asas sistem pendidikan negara, namun berpandangan bahasa ibunda perlu diperluaskan di sekolah berdasarkan permintaan komuniti setempat.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai status pengembangan silibus bahasa ibunda seperti Kadazandusun, termasuk Kadazan Tangaa, Tatana, Murut Timogun, Dusun Lotud serta bahasa Orang Asli, dan tahap kesediaan Kementerian Pendidikan untuk melaksanakannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal