KOTA KINABALU: 16 Jun 2026 – Program Dialog Harmoni Peringkat Kebangsaan 2026 yang bertemakan “Harmoni dalam Kepelbagaian: Memperkukuh Warisan Toleransi Sabah” dirasmikan di sini hari ini, sebagai usaha memperkukuh keharmonian antara penganut agama dan menyediakan ruang selamat untuk perkongsian pandangan secara terbuka.

Majlis yang dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) itu disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.


Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa dialog antara agama merupakan jambatan menghubungkan kepelbagaian kepada perpaduan dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia.


“Dialog antara agama ialah satu proses komunikasi yang membolehkan komuniti dari pelbagai penganut agama saling mengenali, memahami, menghormati dan membina kepercayaan,” katanya.
Beliau berkata matlamat utama dialog ialah mencari titik persamaan dalam nilai kemanusiaan sejagat seperti keamanan, kasih sayang, hormat-menghormati, keadilan dan kesejahteraan masyarakat.
Mengulas mengenai kepelbagaian di Malaysia, Aaron berkata negara ini terdiri daripada lebih 200 kumpulan etnik dan subetnik serta pelbagai agama yang hidup aman, namun kepelbagaian itu menuntut kebijaksanaan dalam pengurusan.
“Jika tidak diurus dengan baik, ia boleh menjadi punca salah faham dan perpecahan,” katanya sambil menambah bahawa cabaran keharmonian semakin kompleks akibat penyebaran maklumat palsu, ucapan kebencian di media sosial dan polarisasi sosial yang semakin ketara.
Beliau turut mengingatkan bahawa kurangnya interaksi antara kelompok boleh melahirkan prasangka dan seterusnya menghakis perpaduan.
Aaron berkata kerajaan MADANI menerusi kementeriannya komited memperkukuh keharmonian menerusi inisiatif Harmoni MADANI yang berpaksikan empat konsep asas iaitu Faham, Hormat, Terima dan Meraikan.
Beliau memetik kejayaan dialog di Ireland Utara (Perjanjian Good Friday 1998) dan proses perdamaian di Afrika Selatan selepas era apartheid sebagai bukti keberkesanan pendekatan musyawarah dalam menyelesaikan perbezaan.
Turut hadir sebagai panelis dalam sesi dialog ialah Prof. Madya Datuk Dr. Lee Kuok Tiung (Universiti Malaysia Sabah), Datuk Haji Sapawi bin Haji Ahmad (Pertubuhan Islam Seluruh Sabah/USIA) dan Reverend Wong Fui Kong (Majlis Gereja-Gereja Sabah), yang kesemuanya juga ahli Jawatankuasa PADUNEGERI Sabah.


Program Dialog Harmoni tahun ini diadakan di enam lokasi seluruh negara, bermula di Kedah (6 Jun), Sabah (16 Jun), Johor (20 Jun), Terengganu (27 Jun), Selangor (8 Julai) dan Sarawak (25 Julai).
