KOTA KINABALU: 1 Julai 2026 – Pementasan “Dan Tiga Dara Terbang Ke Bulan” meraih tempat pertama dalam Festival Teater Universiti Malaysia Sabah 2026, mengatasi “Miracle in Cell no 7” dan “Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck”.
Lebih 500 penonton memenuhi Dewan Resital UMS untuk menyaksikan persembahan Produksi Sada dari Akademi Seni dan Teknologi Kreatif pada 1 Julai lalu.
Penyelia produksi, Syafik Salleh dan penasihat produksi, Agust Musmlady menyifatkan kejayaan itu mencerminkan potensi besar anak muda Sabah dan Sarawak dalam industri seni tempatan.
Di bawah arahan Hidayah Narullah, teater ini membawa penonton ke alam fantasi menerusi konsep “Neverland” yang diilhamkan karya Peter Pan oleh James Matthew Barrie. Elemen visual diperkukuh dengan lukisan terkenal “The Starry Night” karya Vincent van Gogh.
Reka bentuk set dan props dihasilkan sinografer dari Sarawak, Mergerite Munah, manakala kostum direka Azhana Aishah.

Pengurus produksi, Syazwani Adilah memperluas promosi menerusi kerjasama dengan pempengaruh tempatan dan artis tanah air.
Karya skrip penulis Singapura, Aidil Alin Mosbit ini mengisahkan persahabatan tiga gadis—Miah (Hanisah Padri), Pungut (Alya Nazura) dan Chot—dari Kampung Tanjung di Singapura. Mereka berusaha membatalkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan terbang ke bulan untuk menemui Mak Bulan, bagi mengelak kelahiran anak bulan yang menentukan tarikh perayaan.
Sumber: Universiti Malaysia Sabah

