Dalang air ketum tumpas, dua lelaki dicekup dalam dua serbuan di Kota Marudu

Gambar Ketum Di KM

KOTA MARUDU: 15 Mei 2026 – Kegiatan memproses dan mengedar air ketum di daerah ini terbongkar selepas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu menahan dua lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan, pada 13 Mei.

Dalam operasi pertama kira-kira jam 10 pagi, sepasukan pegawai dan anggota BSJND menyerbu sebuah premis cuci kereta di Kampung Radu sebelum menahan seorang lelaki berusia 34 tahun.

Hasil pemeriksaan di lokasi menemui sebotol minuman berwarna hijau bertulis “Mountain Dew” yang disyaki mengandungi air ketum dengan anggaran isipadu kira-kira 200 mililiter.

Susulan tangkapan itu, polis melancarkan serbuan kedua pada hari sama kira-kira jam 12.30 tengah hari di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tinondokan Bodi.

Dalam operasi berkenaan, seorang lagi lelaki tempatan berusia 28 tahun turut diberkas.

Pemeriksaan lanjut di bahagian belakang rumah suspek membawa kepada penemuan 40 botol air mineral yang mengandungi cecair ketum selain peralatan memasak dan tong penyimpanan yang dipercayai digunakan untuk memproses bahan berkenaan.

Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke IPD Kota Marudu bagi tindakan lanjut manakala semua barangan berkaitan turut dirampas untuk tujuan siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya memandang serius kegiatan pengedaran air ketum yang semakin berleluasa di daerah berkenaan.

Beliau berkata, operasi membanteras kegiatan itu akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti setempat terus terpelihara.

Dalam masa sama, orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu usaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran air ketum di daerah itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal