Dabra Sia Perkenal Keindahan Sabah di Singapura

SINGAPURA: 20 Ogos 2025 – Penyanyi berbakat asal Sabah, Dabra Sia, melakar satu lagi pencapaian bermakna apabila dijemput membuat persembahan dalam dua acara berprestij di Singapura, iaitu Pesona Anggerik: Truly Asia Orchids dan Sabah Fest 2025.

Pada 15 Ogos lalu, Dabra tampil dalam acara tertutup Pesona Anggerik yang berlangsung di Gardens by the Bay. Program itu dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura dengan kerjasama Gardens by the Bay sebagai simbolik sambutan 60 tahun hubungan diplomatik Malaysia–Singapura. Turut hadir ialah pemimpin pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai bersama isteri, selain para diplomat dari pelbagai negara.

Kemudian, pada 16 dan 17 Ogos, Dabra kembali menghiburkan hadirin dalam Sabah Fest yang berlangsung di Marina Square Mall, anjuran Sabah Trade and Tourism Office Singapore.

Acara ini terbuka kepada orang awam dengan objektif memperkenalkan keindahan budaya, produk tempatan serta destinasi pelancongan Sabah kepada masyarakat Singapura.

Dalam perkongsian pengalaman, Dabra mengakui peluang membuat persembahan di luar negara memberi makna besar bagi kerjaya seninya.

“Saya tahu nama saya mungkin masih baharu di Singapura, jadi saya berusaha membawa budaya kita melalui suara dan lagu. Saya berasa bangga kerana dapat mewakili Sabah di pentas antarabangsa,” katanya.

Menurut Dabra, sambutan hangat yang diterimanya di Singapura cukup menyentuh hati dan menambah keyakinannya untuk terus mengangkat seni serta warisan Sabah ke peringkat lebih luas.

Sebagai artis yang sedang mengukir nama, Dabra Sia melihat penglibatannya dalam acara diplomatik dan promosi kebudayaan ini bukan sekadar peluang persembahan, tetapi juga satu bentuk tanggungjawab untuk memperkenalkan identiti muzik tanah air ke mata dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal