Cuaca Buruk Punca Menara Tumbang, 230,000 Penduduk Pantai Timur Sabah Terjejas

Gambar Menara Sarapung

KOTA KINABALU: 14 September 2025 – Hujan lebat berterusan yang mengakibatkan banjir lumpur dan tanah runtuh di Penampang telah menyebabkan sebuah menara penghantaran milik Sabah Electricity (SE) tumbang, sekali gus menjejaskan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah.

Menara yang terletak di Kampung Sarapung itu tergelincir dari kedudukan asal akibat tanah runtuh dan menyebabkan gangguan kepada talian penghantaran 275 kilovolt (kV) Kolopis–Segaliud pada jam 5.05 petang Sabtu, 13 September 2025. Insiden ini mengakibatkan gangguan bekalan elektrik di beberapa daerah termasuk Sandakan, Lahad Datu, Kinabatangan, Kunak, Semporna dan Beluran, melibatkan hampir 230,000 pengguna.

Pasukan teknikal SE digerakkan segera dan terpaksa meredah hutan serta bukit bukau hampir tujuh jam sebelum berjaya mengenal pasti lokasi sebenar punca kerosakan pada jam 1.03 pagi Ahad.

Menara yang tumbang itu menyalurkan bekalan elektrik sebanyak 200 megawatt ke Pantai Timur Sabah, menjadikannya antara talian penghantaran paling kritikal di negeri ini.

Bagi mempercepatkan pemulihan, SESB melaksanakan langkah pintasan (conductor bridging) talian penghantaran melalui talian Kimanis ke talian Segaliud, di samping mendirikan menara kecemasan bagi menggantikan struktur yang runtuh. Proses ini dijangka mengambil masa beberapa hari.

SE turut merakamkan penghargaan kepada pelbagai agensi termasuk Kerajaan Negeri Sabah, Suruhanjaya Tenaga (ST), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri, Sabah Air Aviation Sdn Bhd, dan jabatan teknikal lain yang membantu melancarkan operasi pemulihan.

Sumber: Kenyataan Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal