KOTA KINABALU: 7 September 2026 – Ramai penyanyi tempatan yang aktif dalam muzik klasik semasa di universiti terpaksa meninggalkan bidang itu selepas tamat pengajian akibat kekurangan peluang. Ada yang sudah tidak menyanyi selama lapan tahun, malah ada yang mencecah 10 tahun.

Perkara itu didedahkan oleh Presiden Bayu Voices Collective, Gui Foo Chen, ketika mencari penyanyi untuk persembahan tahunan ketiga mereka, Confluence – A Voice Recital III. Program yang menggabungkan muzik Nusantara dan opera Barat ini menjadi ruang untuk penyanyi-penyanyi berkenaan kembali ke pentas.

“Rata-rata mereka berkata, lama sudah tidak menyanyi. Lapan tahun, 10 tahun,” ujar Gui.
Berbanding edisi sebelumnya, pihaknya memperkenalkan tema yang lebih jelas pada tahun ini. Separuh pertama persembahan menampilkan lebih banyak karya Nusantara, dan buat kali pertama, mereka menggunakan prop. Penyanyi solo juga lebih ramai, termasuk pelajar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Nicole Lette Chong Wei, salah seorang peserta, mula mencintai muzik klasik sejak usia 14 tahun apabila percubaan menyanyikan The Queen of the Night’s Aria membawanya menyertai pertandingan bakat di sekolah. Kemenangan itu menjadi titik tolak sehingga beliau melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dalam Persembahan Muzik di UiTM Shah Alam.

Kini, Nicole mengajar secara sambilan di sekolah muzik dan pernah membuat persembahan untuk Sultan Permaisuri Perlis serta di Palace of the Golden Horses. Namun, selepas menamatkan pengajian, beliau memilih untuk pulang ke Sabah.
“Selepas habis Master, dan kalau ada rezeki, saya mahu balik Sabah, terus mencari kerja di sini,” katanya.
Sementara itu, Ellen Gabriela Jopitan melihat Confluence sebagai salah satu ruang penting dalam perjalanan seninya. Pelajar pengkhususan vokal di UMS itu kini menjalani latihan industri di Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan dijangka tamat pengajian pada tahun ini.

“Saya punya nafas ini tidak panjang. Itulah cabaran utama untuk saya. Tetapi sekarang okey sudah,” katanya.
Menurut Gui, cabaran terbesar persatuan mereka ialah kekangan kewangan, pasaran yang masih kecil, dan tanggapan bahawa muzik klasik membosankan. “Goal kami ialah menghibur penonton sehingga mereka tidak rasa bosan dan mahu datang balik,” jelasnya.

Beliau membandingkan keadaan di Semenanjung yang jauh lebih maju persembahan klasik boleh berlangsung setiap minggu, manakala di Sabah masih jarang berlaku. “Orang di sana sudah biasa dengan acara-acara ini, bukan lagi setiap tahun, malah setiap minggu ada,” tambahnya.

Dari segi persembahan, The male efficient yang kini berada di kedudukan ke-4 dalam kategori koir lelaki dunia setelah meraih 3 pingat emas di Sarawak International Choral Symposium and Festival 2026, membuat penampilan khas dengan mempersembahkan lagu rakyat Melayu, Chan Mali Chan, dan lagu rakyat Pakpaknese Indonesia, Chikala Le-Pong Pong, di bawah pimpinan Konduktor Kenny David Yuntalla. Sementara itu, Gui Foo Chen bersama Maryann Magdalena Linnis, turut mempersembahkan lagu Che gelida manina dan Si, mi chiamano Mimi.
Antara vokalis lain yang turut mempersembahkan karya ialah vokalis termuda Gianna Wong (17 tahun), Avelyn Chua Pob Zhen, Aaron Low Wai Lan, dan Azwan, diiringi pemain piano Debbie Robben, Euler Edwin Majanil, dan Marcus Khoo.

Bayu Voices Collective berhasrat menjadikan persembahan ini lebih konsisten dan menggalakkan lebih banyak karya tempatan. Antara cadangan yang sedang dipertimbangkan ialah pertandingan gubahan lagu seriosa khusus untuk bakat Sabah. Usaha ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada penyanyi dan pencipta tempatan, supaya bakat muzik klasik Sabah tidak terhenti selepas meninggalkan universiti.

