KOTA KINABALU: 20 Jun 2026 – Mantan Presiden RELA Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said, mengingatkan bahawa campur tangan politik dalam prosiding tatatertib UMS boleh menghakis autonomi dan integriti institusi, sambil menggesa Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim, supaya menghormati proses yang sedang berjalan.
Beliau bertindak balas terhadap pendirian Adam Adli yang bersedia hadir ke UMS jika prosiding terhadap dua mahasiswa, Fidaa’ Ahmad Fahmi dan Abdul Qayyum, berkaitan protes perobohan rumah di Kudat, diteruskan pada 9 Julai depan.
“Universiti bukan pentas politik. Apabila pemimpin politik memberi gambaran mahu memantau prosiding, ia boleh menimbulkan persepsi bahawa proses dalaman tidak bebas dan profesional. UMS mempunyai kuasa dan mekanisme sendiri – beri ruang kepada universiti tanpa tekanan luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jerry menegaskan hak mahasiswa untuk bersuara perlu seimbang dengan tanggungjawab menghormati peraturan universiti. “Jika mereka menyertai bantahan, mereka juga perlu bersedia menghadapi proses tatatertib jika didapati melanggar peraturan. Itu asas disiplin dan akauntabiliti.”
Beliau berkata tindakan membela mahasiswa sebelum prosiding selesai memberi gambaran proses universiti tidak diyakini dan membuka ruang campur tangan politik. “Pengalaman sebagai aktivis dahulu tidak boleh mempengaruhi pentadbiran universiti hari ini. Mahasiswa perlu matang, bukan bertindak emosi. Adab terhadap institusi juga sebahagian daripada ilmu.”
Justeru, beliau menggesa semua pihak menghormati autonomi UMS dan membenarkan universiti melaksanakan tanggungjawab mengikut peraturan tanpa campur tangan politik.
