SANDAKAN: 28 Oktober 2025– Seekor buaya dianggarkan seberat 200 kilogram dan sepanjang sembilan kaki berjaya ditangkap oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sandakan dalam satu operasi awal pagi tadi di Kampung Sungai Obar, Batu 7.
Menurut APM Sandakan, panggilan kecemasan diterima daripada orang awam melalui talian NG999 sekitar jam 1.54 pagi yang memaklumkan mengenai kewujudan reptilia berkenaan di kawasan kampung tersebut.
Susulan laporan itu, Skuad Charlie APM Sandakan digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan penilaian keselamatan sebelum memulakan operasi penangkapan.

Buaya tersebut berjaya ditangkap tanpa sebarang insiden tidak diingini dan tiada kecederaan dilaporkan sepanjang operasi dijalankan.
Haiwan berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sandakan pada jam 8.00 pagi untuk tindakan lanjut serta pemantauan susulan.

APM Sandakan turut merakamkan penghargaan kepada penduduk kampung atas kepekaan dan kerjasama mereka dalam menyalurkan maklumat, selain menasihatkan masyarakat supaya tidak cuba mendekati atau menangkap sendiri haiwan liar bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.
Sumber: Apm sandakan

