KENINGAU: 20 November 2025- Seramai 19 orang pelajar program kosmetologi Kolej Vokasional (KV) Keningau, beserta beberapa guru, telah melaksanakan program rawatan kecantikan dan dandan diri kepada penghuni pusat jagaan warga emas di Holy Family Residence for Senior Citizens, Papar, pada 19 November 2025.
Projek komuniti yang dinamakan “Beyond Beauty” ini mendapat peruntukan daripada Bahagian Pendidikan & Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) untuk dilaksanakan sebagai usaha mendekatkan Kolej Vokasional dengan masyarakat setempat.

Program tersebut bermula dengan sesi taklimat daripada wakil pusat jagaan warga tua tersebut iaitu Juitah Orou @ Sister Clara sebelum sesi dandan diri dimulakan oleh para pelajar dan guru program kosmetologi KV Keningau di mana rawatan-rawatan tersebut terdiri daripada rawatan kuku tangan, kuku kaki, urutan dan menggunting rambut.
Lebih 40 warga emas merangkumi kesemua penghuni di pusat jagaan itu beserta staf pengurusan. Pihak KV Keningau juga turut menghulurkan bantuan makanan dan perhiasan perayaan Krismas yang disumbangkan oleh warga kolej tersebut.
Selain dandan diri dan rawatan kecantikan, sesi menari dan menyanyi turut berlangsung sebagai hiburan bagi kedua-dua pihak.

Rombongan KV Keningau juga turut meluang masa bersembang dengan para penghuni pusat jagaan itu. Pihak Holy Family Residence For Senior Citizens mengalu-ngalukan sebarang sumbangan daripada orang awam dan pihak pengurusan pusat jagaan ini boleh dihubungi melalui 088 911334 atau 0138709800.
Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, berasa sangat gembira dengan perlaksanaan projek ini memandangkan ianya merupakan bukti kemenjadian pendidikan kolej vokasional yang melahirkan pelajar yang bukan sahaja mahir dalam bidang vokasional yang diceburi malah berbakti kepada masyarakat.
