Oleh David E.
KUALA LUMPUR: 21 Oktober 2026 – Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, membangkitkan isu ketidakadilan agihan pembangunan dan hak hasil Sabah dalam perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat kelmarin. Beliau mencadangkan formula baharu yang memberi 25 peratus peruntukan pembangunan masing-masing untuk Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, peruntukan RM18.7 bilion yang diumumkan Perdana Menteri untuk Sabah sebenarnya merangkumi perbelanjaan persekutuan termasuk gaji penjawat awam, bukan peruntukan pembangunan.
“Rakyat Sabah menyangka ini ‘durian runtuh’, namun setelah diteliti, harapan kami yang runtuh,” katanya.
Beliau berkata peruntukan pembangunan sebenar untuk Sabah dan Sarawak hanya RM7 bilion, dengan Sarawak mendapat RM6.2 bilion.
“Ini bermakna agihan pembangunan masih berasaskan formula lama dan masih ‘Malaya-centric’, 85 peratus untuk Semenanjung, 8 peratus untuk Sabah dan 7 peratus untuk Sarawak – sedangkan yang paling memerlukan pembangunan adalah Sabah dan Sarawak yang masih mundur.
“Sabah adalah wilayah yang paling mundur, paling miskin, dan paling terbelakang dari segi prasarana – dari pendidikan sehinggalah doktor yang enggan bertugas di Sabah,” katanya.
Jelasnya, terdapat lima punca kemunduran Sabah. Pertama, agihan peruntukan pembangunan tidak adil kerana lebih 80 peratus masih untuk Semenanjung yang sudah maju.
Kedua, kegagalan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Kerajaan gagal melaksanakan hak hasil kewangan, menjadikan Sabah miskin dan bergantung kepada kerajaan pusat.
Katanya, Sabah telah dinafikan sekurang-kurangnya RM20 bilion setahun sejak 2021 berikutan kegagalan memenuhi hak hasil 40 peratus.
“Hasil pungutan dari Sabah tidak kurang RM50 bilion setahun. Dengan pembahagian 60/40, kerugian Sabah adalah RM20 bilion setahun. Dari 2021 hingga 2026, RM120 bilion telah dinafikan untuk Sabah,” katanya.
Kitingan merujuk Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober 2025 yang mengiktiraf hak 40 peratus tersebut.
“Jika rayuan difailkan, ia akan ditafsirkan oleh sesetengah pihak sebagai tidak menghormati Perlembagaan, tidak mahu mengembalikan hasil 40 peratus kepada Sabah dan tidak menunaikan hak Sabah,” katanya.
Beliau mencadangkan penubuhan Mekanisme MA63 Revenue Tracking System (MERTS) menggunakan teknologi kecerdasan buatan untuk memantau agihan hasil secara automatik.
Ketiga, perlanggaran perlembagaan.
“Hak negeri dicabul, terutama hak minyak dan gas yang sebenarnya milik Sabah dan Sarawak. Ia diambil melalui PDA 1974 yang dianggap tidak sah dari segi perlembagaan kerana tanah dan sumber asli tersenarai dalam Senarai Negeri, bukan Senarai Persekutuan,” katanya.
“Selepas Vesting Order 1975 dan perjanjian penyerahan minyak 14 Jun 1976, Sabah hanya menerima lima peratus berbanding 12.5 peratus royalti sebelum ini – kerugian 7.5 peratus. Rakyat Sabah tertanya-tanya: apakah untungnya kita dalam Malaysia?” jelasnya.
Kitingan mencadangkan formula agihan pembangunan baharu: 50 peratus untuk Semenanjung, 25 peratus untuk Sabah dan 25 peratus untuk Sarawak.
Keempat, campur tangan politik di Sabah terlalu berleluasa.
“Pintu Istana sering dikawal atas arahan pemimpin Kuala Lumpur. Perlembagaan pernah diketepikan kerana Kuala Lumpur mahu mengurus penggiliran Ketua Menteri setiap dua tahun – menyebabkan pentadbiran Sabah rosak,” katanya.
Beliau turut membangkitkan Projek IC yang didakwanya diperkenalkan untuk mengubah demografi Sabah, termasuk pengundi “untuk sewa”, dan mendakwa pada 1994 projek itu menjatuhkan parti politik.
“Saya sendiri pernah dipanggil Perdana Menteri dan ditawar untuk mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri – namun saya menolak kerana saya bukan ketua parti dan tindakan itu tidak adil dari segi moral dan undang-undang. Saya tidak mahu menjadi boneka Kuala Lumpur,” katanya.
Terakhir, menyentuh kesan keseluruhan, Kitingan berkata campur tangan politik itu telah berlaku dan harus dihentikan, sambil merujuk kebijaksanaan Brunei dan Singapura yang beliau katakan kaya tanpa Malaysia.
“Sudah sampai masanya kita memperbetulkan Malaysia,” ujarnya.
Beliau turut membangkitkan isu 35peratus kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak sebagai perlindungan berperlembagaan seperti termaktub dalam Laporan IGC, hak mengundi pos rakyat Sabah di Semenanjung, dan gesaan agar parti politik dari Kuala Lumpur tidak bertanding dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Sabah ke-17 pada 29 November 2025.
Antara cadangan lain yang dikemukakan Kitingan ialah keutamaan 75 peratus peruntukan Projek Jalan Desa dan Prasarana Asas Desa bernilai RM2.3 bilion dan RM3.3 bilion untuk Sabah dan Sarawak, dan kelulusan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk Keningau dan Tenom.
Beliau juga memohon RM7 juta untuk menaik taraf Taman Tukad Sinurambi di Tambunan sebagai ikon ekopelancongan daerah tersebut. Cadangan beliau merangkumi pembinaan 3,000 anak tangga, tujuh perhentian rumah mukim untuk mempromosikan komoditi pertanian, landskap mesra alam, pusat kebudayaan dan pusat aktiviti para-gliding.
Mengakhiri perbahasan, Kitingan membangkitkan isu logistik yang dihadapi ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak. Beliau menegaskan keperluan mereka berbeza dan wajar diberi pertimbangan khas kerana terpaksa terbang dan menempuh pelbagai cabaran untuk ke Kuala Lumpur.
“Keperluan kami berbeza dan harus diberi pertimbangan sewajarnya,” katanya.
Belanjawan 2027 bernilai RM459.84 bilion, yang terbesar setakat ini, masih menunjukkan defisit walaupun hasil meningkat.
– TV Sabah

