Bekas Wartawan TV3, Datuk Karam Singh Walia Meninggal Dunia

Mohd Khalid Ismail

KUALA LUMPUR : 6 April 2026 – Dunia kewartawanan dan penyiaran negara hari ini berduka dengan pemergian bekas wartawan penyiaran legenda, Karam Singh Walia, yang meninggal dunia pada pukul 3.30 pagi di kediamannya di Klang, Selangor.

Pemergian mendiang pada usia 67 tahun disahkan oleh adiknya, Jasbant Singh, yang juga Pengarah Urusan Kumpulan (GME) Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Berhad.

Menurut laporan, mendiang dilaporkan meninggal dunia akibat barah hati.

Mendiang dilahirkan pada tahun 1959 di Teluk Intan dalam keluarga bekas anggota polis berketurunan Punjabi Sikh, beliau pernah berkhidmat sebagai guru sekolah menengah dan pensyarah universiti sebelum menyertai TV3 pada tahun 1995. Sepanjang hampir dua dekad dalam bidang penyiaran sebelum bersara pada 2014 atas faktor kesihatan, beliau dikenali sebagai antara wartawan alam sekitar paling berpengaruh di Malaysia.

Mendiang cukup sinonim dengan gaya penyampaian tegas dan berautoriti, selain pendekatan unik mengakhiri laporan dengan pantun atau peribahasa, yang menjadi identiti tersendiri dalam penyampaian berita di kaca televisyen. Menurut perkongsian rakan sekerja dan laporan terdahulu, beliau juga memiliki koleksi lebih 4,000 peribahasa Melayu yang dijadikan rujukan.

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah memenangi Anugerah Seri Angkasa sebanyak dua kali, selain diiktiraf oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI) sebagai Wartawan Televisyen Alam Sekitar Terbaik selama empat tahun berturut-turut dari 2004 hingga 2007. Beliau juga merupakan penerima manfaat Tabung Kasih @HAWANA pada Jun 2024.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, dalam hantaran di Facebooknya, menyifatkan pemergian mendiang sebagai kehilangan besar kepada komuniti kewartawanan negara.

“Sesiapa sahaja yang menonton Buletin TV3, khususnya dari era 90-an hingga sekitar tahun 2014, pasti cukup mengenali penampilan beliau yang begitu sinonim dengan pantun untuk mengakhiri setiap laporan, Saya juga antara yang setia mengikuti laporan beliau, dan amat menghargai dedikasi dan sumbangannya kepada dunia penyiaran,” katanya.

Bekas Pengarang Urusan Kumpulan Media Prima TV Networks, Mohd Ashraf Abdullah, turut dipetik menyifatkan mendiang sebagai wartawan alam sekitar terhebat dan sahabat baik.

Penolong Editor Berita dan Ehwal Semasa TV3, Juliana Sharin, berkata pemergian itu satu kehilangan besar kepada dunia penyiaran, manakala penyampai berita TV3, Nur Jamalina Mohamad Jamali, memuji pendekatan mendiang yang sering turun ke lapangan melaporkan isu pencemaran sungai, pembuangan haram dan penebangan hutan.

Legasi beliau dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap isu alam sekitar akan terus dikenang dan menjadi rujukan generasi wartawan akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal