Banjir lumpuhkan loji Apas Balung, Tawau

IMG 20260726 WA00151

TAWAU: 26 Julai 2026 – Operasi dua Loji Rawatan Air (LRA) utama di daerah ini terpaksa dihentikan selepas banjir melanda kawasan tersebut, menyebabkan gangguan bekalan air kepada lebih 5,578 akaun pengguna.

LRA Apas Balung 1 dan 2 ditenggelami air sepenuhnya. Kejadian itu turut merosakkan komponen mekanikal dan elektrikal (M&E) utama di kemudahan berkenaan, lalu memaksa pengendalian loji digantung sementara demi keselamatan.

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerjaraya dan Utiliti Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata demikian dalam kenyataan media pada Sabtu.

“Pasukan teknikal Jabatan Air Bahagian Tawau kini menjalankan pemeriksaan menyeluruh, kerja-kerja pembersihan dan pembaikan komponen yang rosak.

” Usaha ini bertujuan untuk memastikan kedua-dua loji dapat beroperasi semula dengan selamat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, LRA Utara dan LRA Cinta Mata sudah kembali beroperasi.

Jelasnya, Jabatan Air meningkatkan pengeluaran air terawat secara berperingkat untuk menstabilkan bekalan kepada pengguna.

Sebagai langkah mitigasi segera, lori tangki air diaktifkan untuk menyalurkan bekalan ke kawasan-kawasan yang terjejas.

” Jabatan Air Sabah memberi jaminan bahawa semua usaha pemulihan dipergiatkan untuk mempercepatkan proses penstabilan sistem,” katanya.

Menurut Joachim, untuk penyelesaian jangka panjang, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Air Sabah memberi tumpuan kepada Projek Skim Bekalan Air Fasa III, iaitu pembinaan Empangan Tawau.

Projek itu dijadualkan siap pada Oktober tahun depan dan diharap dapat mengukuhkan sistem bekalan air dan kawalan banjir dengan lebih mampan pada masa hadapan.

Pengurusan dan pasukan teknikal Jabatan Air Bahagian Tawau memantau situasi secara berterusan.

Pihaknya memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan menghargai kesabaran semua pengguna yang terjejas sepanjang tempoh pemulihan ini.

Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi jabatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal