Monday, December 23, 2024

Anwar PM Malaysia ke-10, sinar harapan bagi rakyat Borneo

Percy Goliu

K0TA KINABALU: Selama 24 tahun menanti sejak menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan dalam masa kurang 30 minit, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim sah diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, pada 24 November, jam 5 petang Khamis.

Majlis mengangkat sumpah itu dijalankan di hadapan yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara Kuala Lumpur.

Anwar, 75, diperkenan Agong untuk dilantik sebagai perdana menteri selepas baginda mendapat pandangan daripada raja-raja Melayu yang hadir dalam mesyuarat di Istana Negara awal pagi Khamis.

Pelantikan dapat dilakukan selepas lima hari Malaysia diheret kemelut kerana pakatan politik tidak dapat diputuskan selepas tiada gabungan yang mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 selesai pada malam Sabtu lalu.

Keadaan ini memaksa parti-parti yang mendapat undi yang banyak cuba mendapatkan blok-blok parti termasuk daripada Sabah dan Sarawak untuk bergabung bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Dengan campur tangan raja-raja Melayu pagi tadi, kemelut berjaya dirungkai dan dengan persetujuan semua pihak, mereka akur untuk Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 menggantikan Dato Sri Ismail Sabri Yaakob.

Turut hadir di majlis mengangkat sumpah ialah Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat; Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim serta Yang Diperua Dewan Rakyat Azhar Harun serta pemimpin-pemimpin daripada kerajaan perpaduan.

Sementara itu, ucapan tahniah membanjiri media sosial di aplikasi Facebook, Instragram, Whatsapp dan Twitter selepas presiden PKR itu diumumkan sebagai perdana Menteri. Pelantikannya jelas membawa aura kegembiraan di kalangan netizen kerana bersetuju beliau memimpin negara ini.

Isteri Anwar Dr Wan Azizah Wan Ismail menyiarkan poster ringkas Anwar, dengan teks mengisytiharkan beliau sebagai PM ke-10, dengan kapsyen ‘Alhamdulillah’..

Maka hari ini, menamatkan pengembaraan politik yang luar biasa untuk Anwar, seorang pemidato yang cemerlang dan 24 tahun yang lalu dilihat sebagai bintang yang sedang meningkat di mana semua menjangkakan beliau menggantikan perdana menteri ketika itu Tun Mahathir Mohammad.

Hasrat itu tidak menjadi kenyataan apabila beliau dan Mahathir berselisih faham mengenai pengendalian krisis kewangan Asia. Paling parah, Anwar dipenjarakan atas tuduhan rasuah dan liwat yang dipolitikkan.

Sabitannya dibatalkan pada tahun 2004 dan beliau kembali berpolitik, mengetuai parti reformasi yang hampir mengalahkan parti UMNO dalam pilihan raya 2013. Sekali lagi beliau dituduh dengan pertuduhan liwat baru difailkan dan dihantar semula ke penjara pada 2015.

Dalam pilihan raya umum ke-15 kali ini, kerajaan yang diketuai oleh Pakatan Harapan dengan Anwar sebagai perdana menteri yang baru mencetuskan perasaan lega dan gembira oleh rakyat Malaysia bukan Melayu.

Dalam sidang akhbar dan ceramah kempen yang dibuat Anwar, beliau mempromosikan Malaysia yang lebih pluralis, inklusif dan memberi fokus untuk memulihkan ekonomi yang semakin meleset dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Ini adalah ramuan yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia yang mahu negara ini berhenti daripada terus terjerumus dalam masalah ekonomi dan politik yang berpaksikan kepada ketuanan dan ekstremisme kaum serta agama yang dibawa oleh kerajaan sebelum ini.

Apabila Anwar menyebut untuk lebih insklusif kepada semua kaum, beliau turut menyebut kaum-kaum yang ada di Sabah dan Sarawak iaitu kaum Kadazan, Dusun, Iban dan Dayak.

Klip video beliau yang memberitahu bahawa dia akan menjadi bapa kepada semua kaum Melayu, India, Cina, Kadazan, Dusun dan Dayak di Sabah ia adalah muzik yang mahu didengar oleh rakyat Borneo yang mahu layanan sama rata diberi kepada mereka.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights