Anak Sabah Rangkul Emas Kejohanan Bina Badan WPFG di USA

Share the news

BIRMINGHAM, ALABAMA, USA – Seorang anggota polis anak jati Kampung 4 Murni C, Nabawan, Sabah telah mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya meraih pingat emas dalam World Police & Fire Games (WPFG), kategori bina badan yang berlangsung di Birmingham, Alabama, Amerika Syarikat pada 30 Jun 2025.

WPFG ialah acara dwitahunan bertaraf Olimpik yang menghimpunkan ribuan atlet dari kalangan anggota penguat kuasa dan penyelamat seperti polis, bomba, pegawai penjara, imigresen, dan kastam dari seluruh dunia. Pertama kali dianjurkan pada tahun 1985 di San Jose, California, temasya ini menawarkan lebih 60 jenis sukan dengan tahap pertandingan dan kemudahan setaraf kejohanan antarabangsa. Sejak itu, WPFG telah diadakan di pelbagai negara termasuk Australia, Kanada, China, Ireland Utara, Sepanyol, dan Sweden, dengan penyertaan mencecah lebih 16,000 atlet dari hampir 70 negara seperti yang dicatatkan di New York pada 2011. Selain mempromosikan kecemerlangan sukan, WPFG turut menjadi platform perpaduan global dalam kalangan petugas barisan hadapan.

Zmarul Al Adam Pulutan Abdullah, 34 tahun, yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, mencipta sejarah peribadi apabila berjaya menewaskan peserta dari pelbagai negara lain dalam acara berkenaan.

Beliau bergiat aktif dalam bidang bina badan sejak 12 tahun lalu, menyifatkan pencapaian ini sebagai satu pengiktirafan atas segala usaha dan pengorbanan selama ini.

“Sukan bina badan adalah sukan yang memerlukan disiplin yang sangat tinggi dan kos yang sangat besar. Kalau anda benar-benar minat dan berniat untuk pergi jauh hingga mewakili negara, anda perlu bersedia dari segi mental, fizikal dan kewangan,” ujarnya.

Zmarul turut berpesan kepada golongan muda yang ingin menceburi bidang ini agar memiliki hati yang kental dan sentiasa berusaha menjadi yang terbaik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal