KOTA BELUD: 5 April 2026 – Kerajaan Persekutuan diharap akur dan menghormati sepenuhnya penghakiman Mahkamah Tinggi berkaitan hak 40% hasil untuk Sabah, serta memastikan pelaksanaannya mengikut tempoh yang ditetapkan tanpa sebarang penangguhan.
Reichard Owens LRM Charles, Ahli Dewan Belia Sabah N11 Kadamaian merangkap Timbalan Pengerusi PRISMA Sabah, menyuarakan kebimbangan terhadap permohonan lanjutan masa atau penggantungan pelaksanaan perintah mahkamah.
“Jika penangguhan berterusan, ia berpotensi menimbulkan persepsi bahawa penyelesaian isu ini masih belum mempunyai garis masa yang jelas,” katanya.
Beliau menegaskan hak 40% ini bukan satu keistimewaan, tetapi merupakan kewajipan perlembagaan yang mesti dilaksanakan.
“Rakyat Sabah berhak melihat pelaksanaan hak ini direalisasikan secara jelas, telus, dan tanpa berdolak-dalih, sejajar dengan kedudukan Sabah sebagai rakan setara dalam Persekutuan Malaysia.
Ini bukan soal menuntut lebih, tetapi memastikan hak yang telah diiktiraf dapat direalisasikan dengan sewajarnya. Keputusan mahkamah wajar dihormati, dan segala usaha perlu ditumpukan ke arah pelaksanaan yang konstruktif dan segera,” tambahnya.
Isu tuntutan 40% hasil Sabah bukan perkara baharu, sebaliknya merupakan hak perlembagaan yang telah lama termaktub sejak pembentukan Malaysia pada 1963.
Mahkamah Tinggi melalui penghakimannya pada 17 Oktober 2025 telah mengesahkan kedudukan hak ini, serta menetapkan keperluan untuk menentukan jumlah kelayakan Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021 berdasarkan maklumat hasil yang diperincikan.
Mahkamah juga menetapkan tempoh masa jelas iaitu 90 hari untuk penentuan jumlah kelayakan, dan 180 hari untuk memuktamadkan pelaksanaan hak tersebut.
