oleh David E.
KOTA KINABALU: 26 September 2026 – Sabah perlu menjadikan aktiviti hiliran sebagai budaya dan hala tuju untuk menghasilkan produk bernilai tinggi, sekali gus meningkatkan pendapatan petani, peladang, pekebun kecil dan nelayan.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata pendekatan itu penting untuk memaksimumkan nilai rantaian sektor agromakanan dan memperkukuh keterjaminan makanan.
“Kita perlu berubah dari sebuah negeri yang bergantung dengan eksport komoditi pertanian mentah semata-mata, kepada pengeluar dan pengeksport produk siap guna bernilai tinggi,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar pada majlis Pelancaran Bantal Lateks Lumi Borneo di Suria Sabah kelmarin.
Beliau berkata Sabah perlu beralih kepada penghasilan produk hiliran bernilai tinggi yang secara langsung meningkatkan kesejahteraan dan taraf hidup komuniti petani, peladang, pekebun kecil dan nelayan.

Pelancaran Bantal Lumi Borneo oleh Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) membuktikan keupayaan agensi tempatan mengoptimumkan sumber asli negeri.
“Jangan berhenti setakat bantal. Tingkatkan usaha untuk mempelbagaikan pengeluaran produk berkualiti tinggi berasaskan getah,” katanya.
Beliau berkata aktiviti hiliran juga membuka peluang pekerjaan dalam pengeluaran, pembungkusan, logistik, pemasaran dan kawalan kualiti.
Komuniti pekebun kecil getah berasa bangga apabila lateks mereka diproses menjadi produk akhir Bantal Lumi. Produk ini bukan dikeluarkan syarikat swasta lain, tetapi hasil kepakaran pasukan LIGS.
Beliau percaya LIGS berpeluang menerokai produk hiliran lain seperti tilam lateks dan kasut getah. Kerajaan negeri akan terus menyokong industri getah Sabah dan memberi pulangan kepada pekebun kecil.

