Adakah “cash is king” kembali mewarnai politik menjelang PRU17 Sabah

PRU17

Adakah “cash is king” atau “wang itu raja” kembali mewarnai medan politik menjelang PRU17 di Sabah, yang sering dikaitkan dengan kegiatan biasa politik di zaman kegemilangan UMNO BN suatu ketika dahulu? Adakah politik wang wujud secara nyata atau setakat tuduhan dan spekulasi semata?

Naratif sejarah politik sudah tentunya berbeza dari pelbagai sudut terutamanya dari sudut pandangan rakyat tempatan, parti-parti lokal dan parti-parti Malaya. Namun terdapat banyak artikel mengisahkan peristiwa bagaimana Kerajaan PBS ditumbangkan pada tahun 1994, oleh Barisan Nasional.

Pada 27 Oktober lalu, Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan dalam satu sidang media berkata terdapat usaha parti-parti Malaya mengumpan bukan sahaja calon-calon tetapi juga pemimpin-pemimpin bahagian, untuk menyertai mereka. Ketua-ketua dijemput ke satu perjumpaan yang dikatakan sebagai jamuan biasa tetapi kemudian dikejutkan dengan kehadiran pihak-pihak tertentu yang menyeru mereka meninggalkan STAR dengan tawaran ganjaran.

Jeffrey berkata menurut sumber, mereka menggunakan wang untuk membeli pemimpin-pemimpin dan calon-calon, “Amat mengecewakan. Kuala Lumpur masih mengamalkan ‘cash is king’”. Sehubungan dengan itu Jeffrey menggesa rakyat Sabah untuk tidak mengulangi kesilapan masa lampau – terperangkap dan menjadi mangsa politik wang – yang hanya menghancurkan Sabah sendiri.

Perkembangan terbaru ini menyaksikan kejadian masa lampau berulang kembali dan ia bukan suatu spekulasi semata. Justeru itu Jeffrey berkata, perjuangan harus dari rakyat yang cukup berani membela hak-hak Sabah dan memastikan kuasa politik kekal dipegang parti-parti tempatan. “Lupakan seketika tentang pemimpin. Saya berharap rakyat biasa akan bangkit kali ini, berdiri teguh dan menunjukkan kekuatan mereka. Pastikan kuasa dikembalikan kepada parti-parti dan pemimpin-pemimpin tempatan supaya hak-hak politik kekal di Sabah, dan ditadbir oleh rakyat Sabah,” katanya.

Pada tarikh yang sama, Ketua Bahagian STAR N.19 Likas, Kent Yong mengeluarkan kenyataan media menafikan desas-desus bahawa beliau telah meninggalkan parti, “Saya menolak sekeras-kerasnya politik wang yang jijik ini. Sebagai seorang ahli perniagaan dan ahli parti yang berprinsip, saya tidak akan sesekali mengkrompomikan integrity dan kesetiaan saya demi keuntungan peribadi,” tegasnya.

Beliau turut menyeru semua ahli dan penyokong STAR untuk bersatu dan menjunjung semangat perpaduan dalam menghadapi sebarang percubaan untuk memecahbelahkan parti. “STAR Sabah N.19 Bahagian Likas akan terus berdiri teguh di belakang Presiden. Kita akan menghadapi semua cabaran bersama-sama dalam semangat perpaduan dan dalam meneruskan perjuangan Sabah,” tambahnya.

Kenyataan Kent diikuti Ketua Bahagian Pintasan, Dato Raplin Samat yang juga telah mengatakan telah dihubungi pihak tertentu untuk meninggalkan STAR, tetapi menyatakan kesetiaanny terhadap perjuangan STAR demi Sabah.

Walau bagaimanapun, setakat ini penulis artikel belum menemui sebarang laporan kejadian yang sama terjadi ke atas parti-parti lain. Ini menimbulkan persoalan mengapa kegiatan itu hanya terjadi kepada parti STAR? Apakah penyebab atau motif politik di sebalik kegiatan tidak rasmi serupa ini? Adakah kedudukan STAR kini telah mencecah penanda aras yang mencemaskan parti-parti politik tertentu?

Mungkinkah ini sekali lagi disebabkan kelantangan STAR menuntut hak kewangan 40% dan hak-hak Sabah yang lain?

Jeffrey dalam hujahnya di parlimen pada 28 Oktober menyatakan bahawa Sabah menjadi yang termiskin di bawah tawanan kuasa politik Malaya. Kapasti membangun potensi ekonomi Sabah terbantut akibat kekangan kewangan. Merujuk kepada masa lalu ketika Sabah jatuh ke tangan kuasa politik Malaya, layanan kuku besi Kuala Lumpur berleluasa, ISA digunakan sewenang-wenangnya, dan agensi-agensi seperti SPRM, LHDN dan Special Branch Police semuanya digunakan untuk mengganggu-gugat dan menakut-nakutkan pemimpin-pemimpin Sabah, untuk parti politik Malaya kekal berkuasa.

Tegasnya, selama 53 tahun MA63 dan 40% tidak pernah dibincang sehinggalah penubuhan jawatan kuasa khas pada 2018, di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir, Perdana Menteri kedua kali. Namun katanya sehingga kini kewujudan platform itu belum mendatangkan apa-apa hasil selain sebagai kosmatik semata-mata. Menurutnya lagi isu-isu penting seperti hak pemberian khas 40%, dan hak minyak dan gas bukan menjadi agenda utama di Parlimen.

Menurutnya, keputusan dan Perintah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu adalah tepat tanpa keraguan memberi pengiktirafan undang-undang kepada Artikel 122C, 112D dan Bahagian IV Jadual ke-10 Perlembagaan. Justeru, Kerajaan Malaysia telah gagal mematuhi Perlembagaan dan gagal mengadakan Review mandatory di bawah Artikel 112D Perlembagaan diadakan sejak 1974. “This is a breach of the Malaysia Agreement,” ujarnya.

Dalam persidangan parlimen hari ini 29 Oktober, Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin membidas kenyataan seorang bekas menteri undang-undang dari Kelantan yang berkata 40% itu adalah cara British membankrapkan Kerajaan Malaya. Jonathan berkata Malaysia boleh lepaskan Sabah pergi sekiranya benar kenyataan tersebut. Beliau juga menjelaskan semangat patriotik rakyat Sabah kini pada tahap yang amat tinggi dan Kerajaan Pusat perlu menangani isu hak kewangan 40% itu berdasarkan kepada Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan.

Sekiranya suara para pemimpin dan ahli politik tempatan Sabah semakin lantang, adakah rakyat Malaysia akan menyaksikan satu ulangan kejadian masa lalu? Apakah Kerajaan Malaysia akan jujur mentaati Perjanjian dan Perlembagaan Malaysia?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!


 

This will close in 5 seconds

TV Sabah | News Portal