KOTA KINABALU: 13 Oktober 2025 – Consulate General of the People’s Republic of China in Kota Kinabalu hari ini menafikan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa kononnya pihaknya atau Embassy of the People’s Republic of China in Malaysia telah mengeluarkan “amaran keras” kepada kerajaan Sabah berhubung isu bekalan air.
Dalam kenyataan rasmi bertarikh 13 Oktober 2025, Konsulat China menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah khabar angin dan bersifat tidak benar.
Kenyataan rasmi itu dipetik seperti berikut, “Kedutaan China di Malaysia dan Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu tidak pernah mengeluarkan sebarang ‘amaran’ atau ‘ancaman’ terhadap Kerajaan Negeri Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) atau mana-mana pihak berkuasa tempatan berkaitan isu bekalan air, dan tidak pernah menyebut sebarang ‘nasihat perjalanan’.”
Konsulat berkenaan turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus memperkukuh semangat persahabatan dan kerjasama saling menguntungkan antara China dan Malaysia, termasuk Sabah, dalam bidang pelancongan, perdagangan dan kebudayaan.
Selain itu, usaha memperluas pertukaran rakyat serta kerjasama tempatan antara kedua-dua negara juga akan diteruskan.
Pihak Konsulat turut menggesa semua media agar melaporkan berita berdasarkan fakta sebenar dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak disahkan kerana ia boleh menjejaskan hubungan baik antara China dan Malaysia.
Sumber: Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu