Sabah Rancak Dengan Aktiviti Pitching Kandungan Kreatif FINAS dan RTM

KOTA KINABALU: 9 Oktober 2025- Industri kandungan kreatif Sabah terus menunjukkan perkembangan positif apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di bawah Kementerian Komunikasi menganjurkan sesi pitching bersama syarikat produksi tempatan di Kompleks Bersepadu RTM Sabah dan The Pacific Sutera Hotel, baru-baru ini.

Sebanyak 16 syarikat produksi dari seluruh Sabah mengambil bahagian dalam sesi tersebut, membentangkan karya mereka kepada dua agensi utama industri penyiaran dan perfileman negara.

Lima syarikat mempersembahkan 12 karya kepada RTM bagi kategori drama, telefilem dan dokumentari, manakala 11 syarikat lagi membentangkan 11 karya kepada FINAS di bawah Dana Pemangkin Generasi Madani yang merangkumi kategori telefilem, dokumentari dan filem pendek.

Presiden Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA), Chester Pang berkata, inisiatif itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh ekosistem industri kreatif di negeri ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa enam syarikat produksi Sabah sebelum ini telah menerima Surat Setuju Terima (SST) berjumlah RM1.15 juta di bawah Dana Program TV (Dana Borneo) bagi penerbitan supertelefilem.

Katanya, peluang terkini ini memberi ruang kepada lebih banyak syarikat tempatan untuk menonjolkan bakat dan bersaing di peringkat nasional, selain membuka potensi pasaran luar negara.

Dalam masa sama, sesi pitching secara atas talian bagi Dana Pasca Produksi turut dijalankan serentak, melibatkan beberapa syarikat produksi Sabah.

Dalam perkembangan lain, SAFVA turut diumumkan sebagai Ahli Jawatankuasa Induk Gabungan Persatuan Filem Malaysia (GAFEMA), sekali gus memperkukuh peranan dan suara industri kreatif Sabah di peringkat kebangsaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal