PPM Rampas Kosmetik dan Rokok Seludup Bernilai RM262,830 di Semporna

SEMPORNA: 8 Oktober 2025 – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup barangan kosmetik dan rokok pelbagai jenama dalam dua operasi berasingan di perairan daerah pada selasa.

Dalam operasi khas sekitar jam 12.45 tengah hari di kawasan laut berhampiran Simunul, pasukan PPM berjaya merampas sejumlah besar barangan kosmetik pelbagai jenama yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

Pada jam 7 malam hari sama, satu lagi rampasan dilakukan melibatkan rokok pelbagai jenama di kawasan laut Tanjung Manimpa.

Hasil kedua-dua operasi itu, PPM merampas 15 kotak mengandungi 7,000 unit barangan kosmetik dan 400 karton rokok pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM262,830.

Kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Ubat (Kosmetik dan Dadah) 1984 serta Akta Kastam 1967.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Mohd Nazri Ibrahim, berkata pihaknya komited membanteras aktiviti penyeludupan di perairan negeri itu dan menyeru orang awam menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang.

PPM Wilayah 4 akan terus komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara,katanya dalam kenyataan hari ini.

Sumber: Kenyataan Media komander pasukan polis marin wilayah 4

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal