KOTA KINABALU: 7 Oktober 2025 – UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyifatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sebagai peluang terbaik untuk memperbetulkan semula haluan pentadbiran negeri menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata UMNO-BN bersedia sepenuhnya menghadapi pilihan raya dengan kekuatan jentera dan pengalaman luas mentadbir negeri.
Menurutnya, semua jentera parti di seluruh Sabah kini berada pada tahap kesiapsiagaan maksimum, termasuk pemimpin bahagian, sayap dan pusat daerah mengundi (PDM) yang telah digerakkan sepenuhnya.
“UMNO-BN bukan baharu dalam perjuangan politik Sabah. Pengalaman mentadbir dan membangunkan negeri akan menjadi asas utama untuk membawa semula Sabah ke landasan kemajuan dan kestabilan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan, strategi UMNO-BN kali ini akan disusun mengikut kehendak serta keperluan semasa rakyat, dengan menumpukan kepada isu-isu utama seperti ekonomi, peluang pekerjaan dan pembangunan yang lebih tersusun.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, rakyat kini semakin sedar terhadap kegagalan kerajaan sedia ada dalam mengurus ekonomi dan pelaburan negeri, yang menyebabkan banyak kawasan masih ketinggalan.
UMNO-BN yakin pengundi Sabah akan membuat keputusan bijak untuk memilih kepimpinan yang berpengalaman dan mampu membawa perubahan positif kepada negeri.
Sumber: Kupikupi fm