Pusat Hiburan di Penampang Diserbu, Tujuh Pengunjung Positif Dadah

KOTA KINABALU: 5 Oktober 2025- Kegembiraan ratusan pengunjung sebuah pusat hiburan di Jalan Penampang Baru bertukar kecoh apabila premis berkenaan diserbu polis dalam operasi khas.

Serbuan kira-kira jam 3 pagi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di premis hiburan sekitar daerah Penampang.

Seramai 214 individu, terdiri daripada 122 lelaki dan 92 wanita berusia antara 18 hingga 45 tahun, diperiksa dalam operasi tersebut.

Hasil saringan air kencing mendapati tujuh pengunjung, iaitu empat lelaki dan tiga wanita, positif dadah jenis Methamphetamine, Amphetamine, Ketamin dan Benzo.

Selain itu, seorang lelaki turut ditahan selepas ditemui memiliki dadah dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a), Seksyen 12(2) dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pemeriksaan lanjut, polis turut menemui beberapa bahan disyaki dadah, termasuk pil ekstasi seberat 0.75 gram, ‘juice’ ekstasi 14.56 gram, dan serbuk ketamin 1.45gram dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM1,050.

JSJN Sabah menegaskan operasi seperti itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pusat hiburan tidak menjadi sarang penyalahgunaan dadah yang boleh menjejaskan keselamatan awam serta keharmonian masyarakat.

Sumber: Buletin TV3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal