KOTA BELUD: 1 Oktober 2025 – Projek pembinaan Kem Paradise di Kota Belud dijangka menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara, khususnya di Pantai Barat Sabah, apabila siap sepenuhnya pada Ogos 2027.
Menurut Kementerian Kerja Raya (KKR), kem seluas 100 ekar itu akan menempatkan Kem 5 Briged dan Kem 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), sekali gus meningkatkan kapasiti operasi pasukan keselamatan di rantau berkenaan.
Jumlah keanggotaan tentera di kem berkenaan bakal melonjak dari 311 orang ke 1,148 anggota.
Dari jumlah itu, bilangan pegawai bertambah dari 32 ke 69 orang, manakala anggota lain-lain pangkat bertambah menjadi 1,079 berbanding 279 sebelum ini.
Projek strategik bernilai RM179.7 juta itu dilaksanakan secara reka dan bina oleh Ilmiah Perdana Sdn Bhd selaku kontraktor utama dengan Pasukan Projek Khas 2 (PPK2) JKR Malaysia bertindak sebagai agensi pelaksana.
Kerja-kerja pembinaan yang dimulakan pada 2 Mei 2024 kini mencatat kemajuan fizikal 10.26 peratus, iaitu lima hari lebih awal dari jadual asal.
Pembangunan kem berkenaan merangkumi 42 komponen bangunan yang terdiri dari kemudahan pentadbiran, blok teknikal, kediaman, fasiliti sokongan serta infrastruktur asas termasuk jalan raya, bekalan air, elektrik dan sistem kawalan keselamatan.
Selain memperkukuh aspek pertahanan, projek ini turut dijangka memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat menerusi peluang pekerjaan, aktiviti perniagaan dan pembangunan kawasan sekitar.
KKR menegaskan komitmen untuk memastikan projek itu disiapkan mengikut jadual, agar kem moden, mesra operasi dan mampan dapat disediakan, seterusnya memperkukuh benteng keselamatan negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat di Kota Belud serta kawasan berhampiran.
Sumber: Utusan Borneo Online